Tiada kajian impak buktikan syarat 30 peratus ekuiti bantu bumiputera
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani, mempersoalkan keberkesanan syarat 30 peratus ekuiti bumiputera apabila menurutnya, tiada kajian impak diterbitkan yang menunjukkan dasar itu benar-benar meningkatkan kedudukan ekonomi golongan terbabit.
Malah, katanya, syarat pemilikan sedemikian berisiko mewujudkan pemilikan secara proksi apabila nama individu bumiputera digunakan sekadar untuk memenuhi syarat tanpa penyertaan ekonomi yang sebenar.
“Ini masalahnya. Ia bukan pemilikan ekuiti sebenar. Ia hanya penyertaan atas nama (bagi pihak orang lain),” katanya.
Ibrahim berkata demikian ketika berucap dalam forum Equity by Decree? Rethinking Bumiputera Empowerment anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan Engage (The Rakyat in Action!) di Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurut Ibrahim, persoalan utama yang perlu dijawab ialah sejauh mana syarat pemilikan ekuiti itu benar-benar memberi manfaat kepada bumiputera.
“Di mana kajian keberkesanan dan impak dasar ini – pemilikan 30 peratus ekuiti – bukan sahaja untuk pusat tuisyen, tetapi semuanya?” tambah Ibrahim.
Menurutnya, setakat ini kajian impak menyeluruh mengenai syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera masih belum diterbitkan.
Ibrahim yang pernah terlibat dengan bahagian ekuiti di Kementerian Ekonomi berkata ketika dia berada di situ terdapat hasrat untuk menjalankan kajian berkaitan namun kini dia tidak mengetahui status terkini usaha tersebut.
Dia turut mempersoalkan hubungan antara pemilikan ekuiti dalam sesebuah perniagaan dengan peningkatan taraf ekonomi bumiputera.
“Bagaimana dengan mempunyai 30 peratus pemilikan ekuiti misalnya dalam sebuah pusat tuisyen swasta sebenarnya membantu bumiputera?
“Saya fikir itu juga persoalan besar yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa kerana sekarang, tiada korelasi atau sebab-akibat terhadap kesan dasar itu,” katanya.
Perlu beri kejelasan
Mengulas kontroversi syarat 30 peratus ekuiti bumiputera terhadap pusat tuisyen swasta, Ibrahim menjelaskan, ia bukan undang-undang yang diluluskan parlimen sebaliknya syarat itu berpunca daripada dasar dan garis panduan pentadbiran yang diperkenalkan pada 2006.
“Ini sangat penting. Kenapa? Kerana ia bukan undang-undang. Perkara ini bukan undang-undang. Ia adalah garis panduan dan dasar yang ditetapkan oleh kementerian,” katanya.
Justeru, menurut Ibrahim, pelaksanaan, perubahan atau penarikan balik syarat berkenaan berada di bawah budi bicara pihak pengawal selia dan tidak memerlukan kelulusan parlimen.
Dia turut mempersoalkan ketidakseragaman penguatkuasaan apabila syarat itu memberi kesan kepada pusat tuisyen yang mahu beroperasi sebagai syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) tetapi tidak kepada perniagaan milikan tunggal atau perkongsian.
Menurutnya, status Sdn Bhd penting bagi sesetengah pengusaha kerana ia menawarkan perlindungan liabiliti terhad selain memudahkan perniagaan mendapatkan pembiayaan dan mengembangkan operasi.
Ibrahim berkata kerajaan juga perlu memberikan kejelasan kepada pengusaha sekiranya benar-benar mahu mereka mendapatkan pelabur atau pemegang ekuiti bumiputera.
/file/attachments/orphans/forum1dd_970315.png)
Katanya, pengusaha memerlukan masa untuk menyesuaikan perniagaan dengan syarat sedemikian dan mencari pelabur bumiputera yang benar-benar terlibat dalam perniagaan.
Pada masa sama, Ibrahim menegaskan usaha meningkatkan penyertaan bumiputera tidak semestinya bercanggah dengan matlamat mengekalkan Malaysia sebagai ekonomi pasaran terbuka.
“Kedua-dua perkara ini tidak bercanggah antara satu sama lain. Ia boleh saling melengkapi.
“Bagaimanapun, kita memerlukan dasar yang boleh menyelaraskan kedua-dua objektif ini. Ia boleh dilakukan jika kita merancangnya dengan betul,” katanya.
Sementara itu, profesor pelawat Universiti Malaya (UM) Woo Wing Thye, menyifatkan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti sebagai “anti-growth” atau mengekang pertumbuhan ekonomi.
Menurut Woo, dalam konteks pusat tuisyen di negara ini, syarat tersebut boleh menghalang perniagaan yang berjaya daripada berkembang kerana pengusaha yang mahu mendapatkan pembiayaan dan memperluaskan operasi mempunyai insentif untuk menubuhkan syarikat Sdn Bhd.
“Dan ini terpakai secara menyeluruh, bukan sahaja kepada pusat tuisyen tetapi dalam setiap aspek ekonomi,” katanya.
Woo berkata Malaysia sebaiknya perlu mencari kaedah pemerkasaan yang dapat meningkatkan taraf hidup bumiputera tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Nikmat dapat untuk semua
Menurutnya, pendekatan itu antaranya perlu memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran berkualiti tinggi supaya rakyat menjadi lebih produktif dan memperoleh pendapatan lebih tinggi, selain mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi.
Dia turut menekankan kepentingan memperkukuh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang menurutnya 84 peratus dimiliki Bumiputera.
“Jika kita dapat memperkasakan sektor PKS, kita sudah tentu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat Bumiputera,” katanya.
Woo berkata antara masalah utama dihadapi PKS ialah aliran tunai dan akses kepada modal kerja, yang menyukarkan perusahaan mikro berkembang menjadi perniagaan kecil dan seterusnya menjadi perusahaan sederhana.
Dia turut menggesa pembaharuan dalam sistem pendidikan dengan merujuk prestasi Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), termasuk meneliti semula kurikulum dan latihan guru.
Menurut Woo, pendekatan sedemikian lebih penting bagi memastikan Bumiputera dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengambil peluang dalam ekonomi berpendapatan tinggi.
‘Pemerkasaan tak harus korbankan pihak lain’
Sementara itu, Setiausaha Agung KLSCAH, Yeo An Thai, berkata usaha memperkasa masyarakat bumiputera dan menangani ketidaksamaan ekonomi perlu diberi perhatian serius, namun keberkesanan dan keadilan sesuatu dasar juga perlu dinilai.
Katanya, pemerkasaan bumiputera tidak seharusnya dilakukan sehingga menjejaskan komuniti lain, sebaliknya pendekatan yang diambil perlu memperluaskan peluang ekonomi supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat Malaysia.
“Pemerkasaan tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan pihak lain,” katanya sambil menegaskan peluang ekonomi tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang terhad dan perlu direbut antara komuniti.
Yeo berkata dasar untuk menangani ketidaksamaan perlu memberikan peluang sebenar kepada golongan yang memerlukan tanpa mewujudkan halangan yang tidak perlu kepada pihak lain.
Turut ditekankan, katanya, ialah langkah mengelakkan jurang antara masyarakat daripada semakin melebar.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/forum231451234_249679.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.