Malaysia berdepan panas melampau, suhu berpotensi lepasi 41 darjah Celsius
Kesan fenomena Super El Nino dijangka menyebabkan cuaca sangat panas antara Mac hingga Mei tahun depan, sekali gus berpotensi memecahkan rekod suhu tertinggi negara 40.1 darjah Celsius.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata suhu maksimum negara berpotensi melebihi 41 darjah celsius berdasarkan analisis terhadap fenomena El Nino sangat kuat ketika ini, selain kesan perubahan iklim dan pemanasan global.
“Kalau kita lihat perubahan iklim sekarang, kadar peningkatan suhu negara adalah sekitar 0.13 darjah Celsius bagi setiap 10 tahun.
“Berbanding 1998, sudah hampir 30 tahun dan apabila ditambah dengan lonjakan suhu ketika El Nino, kemungkinan peningkatannya lebih satu darjah celsius berbanding rekod 40.1 darjah Celsius ketika itu. Kita jangka 41 darjah Celsius ke atas berkemungkinan berlaku. Itu yang kita jangkakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru hari ini bertemakan “Kesiapsiagaan Hari Ini, Ketahanan Masa Depan”, yang dihadiri lebih 500 peserta daripada pelbagai jabatan dan kementerian.
Malaysia pernah merekodkan suhu tertinggi 40.1 darjah celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998 ketika episod El Nino 1997/1998, manakala suhu tertinggi ketika episod 2015/2016 ialah 39.3 darjah celsius yang dicatatkan di Batu Embun, Pahang pada 10 April 2016.
Mohd Hisham berkata El Nino kali ini diunjurkan mencatat indeks melebihi 2.5, lebih tinggi berbanding paras tertinggi 2.3 yang pernah direkodkan ketika episod 1997/1998 dan 2015/2016.
Beliau berkata setiap kali berlaku El Nino kuat, anjakan suhu maksimum harian boleh meningkat sehingga 0.7 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa, manakala suhu melebihi 35 darjah celsius dijangka berlaku secara lebih meluas dan berpanjangan.
Mohd Hisham berkata keadaan tanpa hujan sehingga 77 hari berturut-turut yang pernah direkodkan sebelum ini berpotensi berulang, terutama di negeri utara Semenanjung susulan fenomena El Nino kali ini.
“Rekod sebelum ini menunjukkan keadaan itu boleh bermula pada hujung tahun, dengan Disember mula tidak menerima hujan sebelum berlanjutan pada Januari dan Februari, manakala hujan kembali sekitar Mac,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata tempoh Monsun Timur Laut 2026/2027 yang diramal bermula penghujung Oktober ketika ini amat penting untuk memastikan empangan menerima hujan mencukupi dan paras simpanan air dapat ditingkatkan sebelum negara berdepan cuaca lebih kering tahun depan.
“Kita kena pastikan empangan kita semua penuh air sebelum tahun depan bermula. Dari segi punca air, ketika Monsun Timur Laut memang hujan banyak dan kita harapkan hujan ini dapat memenuhi semua empangan,” katanya.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi supaya persediaan berkaitan bekalan dan simpanan air dilakukan lebih awal bagi menghadapi tempoh panas serta kering tahun depan.
Mohd Hisham turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan tenaga elektrik ketika tempoh cuaca panas tahun depan, khususnya susulan penggunaan pendingin hawa yang dijangka meningkat.
“Penggunaan tenaga akan tinggi pada bulan-bulan panas tahun depan. Jadi, dari segi grid tenaga kita kena pastikan ia mencukupi. Kalau tidak bersedia, boleh berlaku gangguan dan grid juga boleh terjejas,” katanya.
Beliau berkata MetMalaysia memaklumkan agensi berkaitan mengenai jangkaan itu dan perkara berkenaan akan turut dibawa pada mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu depan.
Pada masa sama, katanya MetMalaysia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membangunkan Indeks Haba untuk menentukan nilai ambang yang boleh digunakan bagi memberi amaran kepada orang ramai mengenai risiko kesihatan akibat cuaca panas.
Beliau berkata sistem pemantauan cuaca panas ketika ini mengklasifikasikan suhu 35 darjah celsius ke atas sebagai Tahap 1, 37 darjah celsius ke atas sebagai Tahap 2 dan 40 darjah celsius ke atas sebagai Tahap 3.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/03/1a571af08c2b71e2a1d2a3d357118c18.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.