Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menerima aduan rasmi berkaitan isu membabitkan syarikat My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Bhd (Zetrix AI) pada 7 Okt lalu.

SPRM memaklumkan agensi antirasuah itu turut mengambil maklum bahawa isu berkenaan sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan dengan itu, kata SPRM, mereka akan bekerjasama rapat dengan PDRM bagi meneliti dan melaksanakan perkongsian maklumat dalam menyiasat perkara berkenaan berdasarkan kesalahan di bawah bidang kuasa polis.

“PDRM akan menyalurkan sebarang maklumat kepada SPRM sekiranya terdapat elemen rasuah untuk tindakan lanjut suruhanjaya itu.

“SPRM turut mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat lanjut berkaitan isu berkenaan.

“Pada masa sama, SPRM menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan itu atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

SPRM turut menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi terkait isu berkenaan dan akan menjalankan siasatan secara bebas, adil serta berlandaskan undang-undang.

Pada 5 Okt lalu Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung selepas kedua-dua syarikat terbabit gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan.

Jumlah itu, kata Loke, melibatkan tempoh 19 Mei hingga 30 Sept tahun ini.

Tambahnya, tindakan tersebut diambil selepas kedua-dua syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan walaupun 35 peringatan diberikan, selain beberapa siri libat urus diadakan oleh pihak berkuasa sejak Mei lalu.

- Bernama