‘Eksport semikonduktor Malaysia ke AS bebas tarif, kedudukan negara kekal selamat’
Malaysia terus menikmati pengecualian tarif bagi eksport semikonduktornya ke Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.
Bercakap pada sidang media EU-Malaysia Business Day 2026: Selangor in Focus di Kuala Lumpur hari ini, katanya buat masa ini Malaysia masih belum menerima sebarang petunjuk bahawa Washington akan mengenakan tarif terhadap eksport sektor berkenaan.
Beliau berkata rundingan dengan AS di bawah Seksyen 301 meliputi empat isu iaitu buruh paksa, lebihan kapasiti pengeluaran, standard alam sekitar dan subsidi kerajaan.
“Bagi alam sekitar dan subsidi kerajaan, kita tiada masalah. Kita tidak tertakluk kepada sebarang tindakan kerana kedudukan kita jelas.
“Isu buruh paksa dimuktamadkan, dengan Malaysia dikenakan kadar 10 peratus berbanding 12.5 peratus bagi negara lain. Hanya 17 ekonomi dikenakan kadar 10 peratus. Satu-satunya aspek yang belum dimuktamadkan adalah lebihan kapasiti dan kita tidak mempunyai lebihan kapasiti,” kata Johari.
Beliau berkata sebarang lebihan kapasiti yang dikaitkan dengan barangan yang dieksport dari Malaysia mungkin berpunca daripada negara ketiga.
Sehubungan itu, Johari berkata Malaysia akan mendapatkan penjelasan daripada AS mengenai negara yang dikenal pasti menyumbang kepada isu berkenaan, dan seterusnya Malaysia akan mengeluarkan negara-negara itu daripada senarainya.
Menurutnya akses ke pasaran luar negara bergantung kepada pematuhan terhadap keperluan dan peraturan negara-negara berkenaan.
“Akhirnya, akses ke mana-mana pasaran bergantung kepada negara berkenaan. Apakah kriteria mereka? Apakah undang-undang yang perlu kita patuhi? Kita perlu mematuhinya, jika tidak, kita tidak boleh memasuki pasaran itu,” katanya.
Johari berkata Kesatuan Eropah (EU) menetapkan keperluan alam sekitar yang ketat terhadap rakan dagangnya.
“Selagi anda dapat mematuhinya, oleh itu tiada masalah. Begitu juga dengan negara lain. Setiap negara mempunyai keperluan tersendiri,” katanya.
Sementara itu, EU-Malaysia Business Day 2026: Selangor in Focus diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang dijadual berlangsung bermula 14 hingga 17 Okt 2026.
Dianjurkan oleh Delegasi EU ke Malaysia, edisi ketiga acara utama tahunan itu diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor, Invest Selangor dan EUROCHAM Malaysia.
Bertemakan “Bridging Innovation-Powering Progress,” acara itu bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan serta membuka lebih banyak peluang pelaburan melibatkan kehadiran banyak syarikat EU di Malaysia.
Dengan lebih 550 syarikat EU beroperasi di Selangor dan menjana jumlah perolehan tahunan melebihi RM51 bilion, acara itu mengetengahkan sektor bernilai tinggi dan pertumbuhan tinggi seperti pembuatan termaju, peralihan hijau, pendigitalan dan logistik.
Turut hadir Pesuruhjaya EU bagi Kerjasama Antarabangsa Jozef Sikela dan Duta EU ke Malaysia Rafael Daerr.
Sikela berkata pelaburan bersama Malaysia akan memperkukuh dan mempelbagaikan ekosistem semikonduktor yang semakin menjadi sandaran kedua-dua ekonomi.
“Kita berada dalam dunia yang dicirikan oleh ketegangan geopolitik, gangguan ekonomi dan persaingan yang semakin sengit dalam teknologi kritikal. Dunia kini semakin memerlukan rantaian bekalan yang berdaya tahan serta perkongsian yang dipercayai dan saling menguntungkan,” katanya.
Menurutnya rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang disambung semula akan menguatkan hubungan ekonomi manakala Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) adalah satu lagi bidang berpotensi untuk bekerjasama.
“LuMIC merupakan satu lagi peluang untuk diteroka pada masa hadapan, yang menggabungkan infrastruktur, industri, logistik dan berpotensi untuk aktiviti maritim yang lebih lestari,” katanya.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/pauv21ddd_412742.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.