Seorang kerabat Diraja Terengganu hari ini memfailkan saman sivil terhadap dua institusi perbankan atas dakwaan kecuaian sehingga kehilangan wang keseluruhan berjumlah RM1.99 juta dalam akaun simpanannya.

Tengku Ismail Tengku Ibrahim, 65, memfailkan writ saman tersebut melalui peguamnya Alif Danial Ahmad Shahrulnizam dan Mohd Hazwan Hamidun di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu.

Alif Danial berkata anak guamnya sebagai plaintif menuntut kedua-dua bank berkenaan selaku defendan untuk membayar semula keseluruhan jumlah wang yang hilang itu.

“Saman difailkan atas kehilangan sejumlah wang milik anak guam kami yang dipercayai melibatkan perbuatan daripada pihak scammer. Kita failkan saman terhadap kedua-dua bank tersebut atas dakwaan adanya berlaku kecuaian oleh pihak-pihak bank dalam mengendalikan transaksi yang dipertikaikan ini,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu hari ini.

Alif Danial berkata anak guamnya, yang juga seorang ahli perniagaan, antara lain turut menuntut ganti rugi am terhadap tekanan emosi dan kesusahan yang dihadapi akibat kejadian terbabit, kos guaman serta faedah-faedah lain daripada kedua-dua defendan.

Berdasarkan penyataan writ saman, Tengku Ismail yang mendakwa tidak pernah menggunakan mana-mana aplikasi perbankan dalam talian hanya menyedari sebahagian besar wang dalam akaun simpanan di kedua-dua bank itu hilang pada Januari lepas.

Melalui kunjungannya ke kedua-dua cawangan bank tersebut didapati baki simpannya masing-masing hanya berjumlah RM73 dan RM99.

Semakan kemudiannya mendapati kesemua transaksi pengeluaran wang simpanan mencurigakan tersebut berlaku antara September hingga Disember tahun lepas dan Tengku Ismail membuat laporan polis tentang kehilangan wang tersebut di Balai Polis Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu pada 15 Jan.

Plaintif mendakwa tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak ketiga untuk mengaktifkan atau menggunakan kemudahan perbankan dalam talian, memindahkan wang keluar mahupun mengesahkan sebarang transaksi dipertikai berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau antara lain mendakwa pengurusan dua institusi kewangan tersebut cuai dengan membenarkan pihak ketiga mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian tanpa kebenarannya dan gagal memantau serta menyekat transaksi mencurigakan.

- Bernama