Keluarga Noorizwan Zulkefly akan mengadakan perhimpunan aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 17 Okt untuk menuntut keadilan dan jawapan berhubung kematiannya ketika dalam tahanan polis.

Noorizwan, 42, disahkan meninggal dunia pada 1 Okt selepas berada kira-kira 10 hari dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Adiknya, Nooranis Zulkefly, berkata sehingga hari ini, pihak keluarga belum menerima sebarang jawapan daripada polis sejak menyuarakan isu itu seminggu lalu.


"Jika kita tidak memperjuangkan isu ini, kejadian sama mungkin berulang kepada orang awam yang tertindas, terutamanya mereka yang miskin," kata Nooranis kepada Malaysiakini.

Dia turut mendakwa pihak yang didakwa terlibat masih bebas, manakala keluarganya terus berdepan dengan sikap membungkam pihak berkuasa berhubung kematian Noorizwan.

Perhimpunan itu dijadualkan pada 11 pagi di ibu pejabat polis tersebut dan dijangka dihadiri oleh peguam keluarga, pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai.

Nooranis berkata keluarganya mahu menyerahkan memorandum dan menggesa Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu semasa perhimpunan tersebut.

Semasa sidang media pada 7 Okt, Nooranis berkata dia dimaklumkan mengenai kematian adiknya pada kira-kira 8 malam seminggu sebelum itu melalui mesej pesanan ringkas yang dipercayai dihantar oleh seorang anggota polis.

Menurut Nooranis, mesej itu menyatakan bahawa Noorizwan telah dibawa ke hospital selepas didakwa mengalami kecederaan akibat terjatuh semasa dalam tahanan. Noorizwan disahkan meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian.

Nooranis berkata pihak keluarga tidak dimaklumkan mengenai penahanan adiknya itu dan terkejut apabila mendapat berita tentang kematiannya.

Pengasas bersama Lawyers for Liberty, N Surendran, yang mewakili keluarga itu, berkata bedah siasat mendapati Noorizwan meninggal dunia akibat trauma daya tumpul, dengan pendarahan baharu di bawah kulit.

Gambar yang didedahkan oleh keluarga menunjukkan kecederaan yang jelas, termasuk bengkak pada kaki dan lututnya, luka pada bahagian belakang badan dan pergelangan tangan, tulang rusuk patah serta kecederaan parah pada kepala.

Susulan pendedahan itu, Surendran mempertikaikan dakwaan bahawa kecederaan Noorizwan disebabkan oleh jatuh, sebaliknya mendesak agar kematian itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia turut mendesak Bukit Aman menubuhkan pasukan bebas untuk menyiasat kes berkenaan.

Secara berasingan, kumpulan hak asasi manusia Suaram menyuarakan desakan sama agar siasatan dijalankan, serta menggesa menteri dalam negeri dan polis mendedahkan sebab penahanan Noorizwan.

Ini termasuk mengeluarkan rekod reman, menjelaskan sama ada prosedur tahanan yang betul dipatuhi serta memberikan perkembangan terkini mengenai tindakan yang diambil dalam kes itu.