Kerajaan negeri Selangor dan parti pembangkang Bersatu semakin menghampiri perjanjian persefahaman merentasi parti yang bakal memberi parti itu peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri, menurut anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap anggota Dewan Undangan Negeri, Dr Afif Bahardin.

Jika Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, ini akan memberi sokongan lebih dua pertiga majoriti di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 56 anggota kepada Menteri Besar Amirudin Shari.

Dr Afif Bahardin

Afif, yang mewakili Taman Medan, berkata rundingan antara kedua-dua pihak menunjukkan perkembangan positif, dengan pengumuman dijangka dibuat tidak lama lagi.

"Akan ada pengumuman nanti. Yang penting, untuk kebaikan semua rakyat Selangor, termasuk di kawasan (Dewan Undangan Negeri) yang dipegang Bersatu,” katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada persepakatan itu merangkumi peruntukan kawasan bagi anggota Dewan Undangan Negeri Bersatu, Afif berkata perbincangan itu melangkaui isu peruntukan semata-mata.

Antara tuntutan utama Bersatu ialah akses kepada mesyuarat kerajaan, sekali gus membolehkan wakil rakyatnya membangkitkan isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Afif berkata parti itu mahu anggota Dewan Undangan Negeri mereka dilibatkan dalam proses membuat keputusan pentadbiran negeri.

“Kami sebelum ini sebagai adn pembangkang tak boleh hadir mesyuarat di peringkat kerajaan (negeri) dan juga PBT (pihak berkuasa tempatan)," katanya.

Bagaimanapun, dia menafikan parti itu menuntut jawatan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) atau sebagai ahli majlis PBT.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan ulasan daripada Amirudin.

Amirudin Shari

Minggu lalu, menteri besar dilaporkan berkata anggota Dewan Undangan Negeri Bersatu akan menandatangani perjanjian dengan kerajaan Selangor sebelum belanjawan negeri dibentangkan.

Cadangan perjanjian itu dibuat ketika hubungan tegang antara PH dan BN, yang merupakan rakan kongsi dalam kerajaan persekutuan dan Selangor. Bersatu juga berselisih faham dengan PAS, satu lagi komponen utama Perikatan Nasional (PN) yang dipimpinnya.

Pentadbiran Amirudin kini mendapat sokongan 35 anggota Dewan Undangan Negeri, terdiri daripada 32 daripada PH, dua daripada BN dan seorang bebas.

Di bangku pembangkang, Bersatu memegang 11 kerusi manakala PAS mempunyai 10 kerusi.