PARLIMEN | Kerajaan bersedia melaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak sama rata kepada ibu warga Malaysia mewariskan kewarganegaraan kepada anak selepas berkahwin dengan warga luar.

Bagaimanapun, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan masih menunggu tarikh kuat kuasa yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Apabila mendapat perkenan daripada Sultan Ibrahim nanti, katanya, pelaksanaan pindaan itu boleh dimulakan serta-merta.

“Saya tunggu satu tu saja. Kalau esok Yang di-Pertuan Agong beri perkenan tarikh, 14 Okt mula berkuat kuasa, maka 14 Okt juga kuat kuasa.

“Sekarang tunggu itu saja,” katanya ketika menghadiri sesi dialog awam Madani di Sungai Petani, Kedah, pada Sabtu lalu. Klip sedutan ucapan itu dimuat naik akaun media sosial Jabatan Pendaftaran Negara dan dikongsi Saifuddin semalam.

Kelmarin Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) mengeluarkan kenyataan dengan membangkitkan kelewatan pelaksanaan pindaan berkenaan.

Pada 12 Sept lalu Bernama melaporkan Saifuddin sebagai berkata Yang di-Pertuan Agong sudah menetapkan tarikh kuat kuasa pindaan itu, yang akan diumumkan selepas beberapa urusan pentadbiran dimuktamadkan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang berubah sejak kenyataan tersebut dibuat.

Antara tujuan pindaan perlembagaan itu adalah untuk membolehkan wanita Malaysia yang menetap di luar negara dan berkahwin dengan warga asing mewariskan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka secara automatik.

Hak tersebut sebelum ini diberikan kepada lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita warga asing.

Pindaan itu diluluskan Dewan Rakyat pada 17 Okt 2024 dan diwartakan pada Mac 2025.

Bagaimanapun, undang-undang baru itu tidak berkuat kuasa secara retrospektif.

Itu bermakna hanya anak yang dilahirkan selepas tarikh kuat kuasa ditetapkan yang layak mendapat kewarganegaraan secara automatik di bawah peruntukan baru tersebut.

Dalam ucapannya pada Sabtu lalu, Saifuddin turut mengulangi komitmen kerajaan untuk menyelesaikan kes permohonan kewarganegaraan yang tertunggak.

Katanya, terdapat kira-kira 50,000 kes tertunggak ketika dia mula memegang jawatan itu, namun jumlah berkenaan kini berkurangan kepada sekitar 3,000 kes.