Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model warganegara Belanda, Ivana Smit, berhubung dakwaan kecuaian dalam siasatan kematian anaknya.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim yang diterajui Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang bersidang bersama Hakim Ong Chee Kwan dan Hakim K Muniandy, membenarkan rayuan kerajaan terhadap Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.

Muniandy, yang membacakan keputusan tersebut, berkata panel membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai 2025, termasuk semua anugerah ganti rugi, faedah dan perintah mandatori.

Smit, yang berusia 18 tahun pada 7 Dis 2017 , ditemukan mati di tingkat enam sebuah unit di CapSquare Residence di Kuala Lumpur — 14 tingkat di bawah unit tingkat 20 milik pasangan suspek Alex Johnson dan Luna Almaz.

Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.

Muniandy berkata polis tidak memikul kewajipan berjaga-jaga (duty of care) di bawah undang-undang persendirian terhadap pengadu atau saudara mereka dalam menentukan cara sesuatu siasatan dijalankan.

"Walaupun pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang memikul tanggungjawab terhadap orang ramai secara keseluruhan, ia tidak secara automatik bermakna wujud kewajipan berjaga-jaga di bawah undang-undang persendirian terhadap pengadu individu atau saudara mereka.

"Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menganggap kecuaian dan salah laku sebagai kausa tindakan yang berasingan, tanpa memenuhi syarat undang-undang yang diperlukan bagi menetapkan liabiliti terhadap pihak berkuasa awam," katanya.

Muniandy turut berkata Mahkamah Tinggi melampaui bidang kuasanya apabila mengeluarkan perintah berkaitan pengurusan anggota polis dan kendalian harian siasatan.

"Penyeliaan dan pengarahan siasatan polis terletak di bawah fungsi eksekutif dan pendakwaan, dan mahkamah mesti menghormati pengasingan kuasa,” katanya.


Bagaimanapun, mahkamah memutuskan polis tetap terikat dengan kewajipan untuk meneruskan petunjuk yang boleh dikesan dengan tekun.

Pada 29 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen berhak menerima ganti rugi am RM500,000, ganti rugi teruk RM300,000 dan ganti rugi teladan RM300,000, serta kos RM100,000.

Mahkamah itu juga mengarahkan ketua polis negara mengeluarkan pegawai penyiasat Faizal Abdullah daripada pasukan petugas, selain memerintahkan polis membuka semula siasatan dan menyerahkan laporan kemajuan kepada Jabatan Peguam Negara setiap tiga bulan.

Verstappen memfailkan saman itu pada November 2020, mendakwa berlaku kecuaian dalam siasatan terhadap kematian anaknya.

Smit, 18, ditemukan maut di CapSquare Residence pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari sebuah unit kondominium di tingkat 20. Mahkamah koroner pada Mac 2019 memutuskan kematiannya akibat kemalangan tidak sengaja.

Namun Mahkamah Tinggi kemudian menggantikan keputusan itu dengan dapatan bahawa kematian itu disebabkan oleh seorang atau lebih individu yang tidak diketahui.


Peguam kanan persekutuan Liew Horn Bing dan Nuur Zul Izzati Zulkipli mewakili kerajaan, manakala SN Nair dan Wong Guo Jin mewakili ibu Smit.

Timbalan duta Belanda ke Malaysia, Pieter Blusse, hadir mengikuti prosiding hari ini.

Dalam satu kenyataan, Nair berkata dia dan anak guamnya amat kecewa dengan keputusan itu, namun menerimanya dengan penuh hormat dan hati yang bersih kerana telah mengambil setiap jalan yang ada dalam usaha mendapatkan keadilan.

Dia mengakui mahkamah terikat dengan duluan kehakiman dan doktrin mengikat kejadian, sebahagiannya bagi mengelakkan limpahan tuntutan kecuaian terhadap agensi kerajaan.

Namun, katanya, dia gerun memikirkan akibat yang jauh lebih membimbangkan, iaitu terbukanya pintu kepada kecuaian yang tidak terkawal dan melampau oleh agensi berkenaan, khususnya polis, sehingga mangsa tidak mempunyai pemulihan undang-undang yang berkesan.

"Mahkamah, pada akhirnya, ialah benteng terakhir keadilan bagi mereka yang menuntut akauntabiliti daripada negara.

"Anak guamnya kini mempunyai satu jalan terakhir, iaitu merayu ke Mahkamah Persekutuan, tertakluk kepada kebenaran diberikan.

"Kami tetap teguh dengan pendirian bahawa akauntabiliti tidak boleh dikorbankan atas nama teknikaliti undang-undang, terutamanya apabila melibatkan tindakan pihak berkuasa awam," katanya.