ULASAN l ‘Bila media Singapura lebih tahu urusan Majlis Raja-Raja kita’
ULASAN l Lazimnya, mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan dalam suasana sederhana. Dalam bahasa Inggeris disebut "low key".
Kalau ada pun berita atau hebahan, ia adalah kenyataan media oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Dalam bahasa Inggeris, Keeper of the Rulers' Seal. Beliau bertindak sebagai setiausaha dan ketua pegawai operasi Majlis.
Seingat saya, soal ahli mana hadir dan tidak hadir tidak dihebahkan dan tidak menjadi isu asalkan cukup bilangan (kuorum).
Oleh kerana bilangan ahli penuh Majlis adalah 13, iaitu sembilan orang Raja Melayu dan empat orang Yang di-Pertua Negeri, maka kehadiran tujuh orang merupakan kuorum yang sah.
/file/attachments/orphans/MRR1334_972435.png)
Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja diberi kuasa menentukan sendiri peraturan dalamannya.
Namun, apabila mesyuaratnya yang dijadualkan pada 23 hingga 25 Jun lalu ditangguhkan, ia menimbulkan sedikit tanda tanya dan persoalan.
Media massa melaporkan, tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai penangguhan saat akhir itu.
Ini menyebabkan sesetengah saluran berita memetik "sumber-sumber" sebagai berkata, lima orang Raja-raja kanan, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berjumpa beberapa hari sebelum penangguhan itu dibuat.
/file/attachments/orphans/test111_964810.png)
Persoalan waktu itu, adakah krisis perlembagaan Negeri Sembilan terlalu serius sehingga menjejaskan perjalanan Majlis Raja-Raja?
Tiba-tiba, pada 12 Oktober, akhbar Straits Times Singapura melaporkan bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz telah diundang ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang sedang berlangsung sekarang (13 hingga 15 Oktober).
Akhbar utama Singapura itu berkata, undangan dibuat oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin yang mempengerusikan persidangan kali ini.
Laporan akhbar Singapura itu dipetik dan disiarkan oleh beberapa saluran media tempatan. Pelik jugalah apabila akhbar dari sebuah negara tanpa raja mendahului media massa negara beraja menyiarkan berita mengenai raja-raja kita.
Ia tidak berhenti di situ saja. Istana Negeri Sembilan kemudian menafikan laporan itu, sambil menegaskan bahawa kehadiran di mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan sebarang jemputan rasmi.
Pihak istana menjelaskan lagi bahawa Yang di-Pertuan Besar tidak ada menerima warkah jemputan untuk Mesyuarat Pra-Majlis dan Baginda juga memutuskan untuk tidak berangkat atas alasan hendak menumpukan perhatian kepada urusan rasmi negeri.
Minta ampun kalau saya katakan, kita tidak boleh pandang ringan krisis takhta di Negeri Sembilan atau di mana-mana negeri sekali pun. Raja-raja kita adalah raja berperlembagaan; ada kedudukan, tugas rasmi dan gaji.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/07/1e1f9ae5b736c364a8ec5ae231b16d5c.jpg)
Bukan macam raja-raja di negara republik seperti Indonesia dan India. Di sana ada banyak raja tetapi tidak ada keabsahan atau kuasa.
Jadi elok sangatlah kalau kegiatan Raja-raja kita seperti Persidangan Majlis Raja-Raja, dikongsi dengan sebaik-baiknya untuk pengetahuan orang ramai.
Saya perhatikan banyak istana dan keluarga diraja kini hadir secara cergas dalam media sosial. Baguslah, rakyat jelata boleh baca.
Tetapi bagi peristiwa penting macam Mesyuarat Majlis Raja-Raja, maklumat rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah diutamakan.
A KADIR JASIN bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.
Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk 'Komunikasi Raja-raja dan rakyat'. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/8a7eff7ed97f4b0d5e72b5beae329aed.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.