Jumlah pekerjaan pusat data tak setara nilai pelaburan diumum - Menteri
Jumlah pekerjaan yang diwujudkan untuk rakyat Malaysia hasil daripada pelaburan pusat data tidak berkadar langsung dengan jumlah pelaburan yang diumumkan, kata Menteri Sumber Manusia, R Ramanan.
Kenyataan itu dibuat ketika timbul kebimbangan mengenai nilai sebenar limpahan ekonomi daripada perkembangan sektor pusat data di negara ini, selain kebimbangan terhadap alam sekitar berikutan penggunaan air yang tinggi oleh fasiliti tersebut.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Ramanan berkata pusat data merupakan “pelaburan berintensifkan modal”, dengan sebahagian besar nilai pelaburan dibelanjakan untuk peralatan berkualiti tinggi, infrastruktur elektrik dan sistem penyejukan.
Justeru, kebanyakan pekerjaan dalam sektor ini menawarkan nilai yang tinggi dan memerlukan kemahiran teknikal khusus.
Menteri itu tidak memberikan angka mengenai jumlah pekerjaan yang telah diwujudkan setakat ini hasil daripada pelaburan pusat data.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata Kementerian Sumber Manusia telah mengambil langkah proaktif bagi mempersiapkan rakyat Malaysia untuk mengisi jawatan sedemikian, termasuk mengadakan bengkel bersama pemain industri pada Mei dan Oktober tahun lalu menerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Bengkel itu bertujuan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan dalam setiap peringkat operasi pusat data, termasuk jawatan yang mendapat permintaan tinggi, kelayakan dan tempoh latihan yang diperlukan.
Sebanyak 12 jenis pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi telah dikenal pasti, termasuk jurutera elektrik dan mekanikal, pengurus projek teknologi maklumat (IT), pakar reka bentuk sistem IT, jurutera keselamatan rangkaian dan juruteknik pusat data.
Daripada jumlah itu, lapan jawatan memerlukan kelayakan ijazah, satu jawatan memerlukan diploma, dua jawatan memerlukan kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala satu lagi jawatan, iaitu penjaga jentera elektrik (chargeman), terbuka kepada pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memiliki sijil kompetensi daripada Suruhanjaya Tenaga.
“Ini membuktikan bahawa pekerjaan berkemahiran tinggi hasil daripada pelaburan pusat data bukan sahaja menyediakan peluang kepada graduan universiti, malah turut membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada lepasan sekolah daripada institusi latihan TVET tempatan,” kata Ramanan.
Dia menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang meminta angka terkini mengenai jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang benar-benar diwujudkan untuk rakyat Malaysia hasil daripada pelaburan pusat data, berbanding jumlah keseluruhan nilai pelaburan yang diumumkan.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/fe24e8177b05d22ca521ee0fdae310af.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.