PARLIMEN I Kerajaan diminta memansuhkan penetapan simpanan minimum RM15,000 sebagai syarat kepada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum menerima tawaran menunaikan ibadah haji.

Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS- Kubang Kerian) menyifatkan cadangan berkenaan akan menyulitkan umat Islam yang bercita-cita untuk menunaikan ibadah haji.

Apatah lagi katanya bagi rata-rata umat Islam khususnya bagi masyarakat kampung bukan mudah untuk mereka menyediakan simpanan tetap sebegitu.

"Memandangkan kebiasaannya rakyat Malaysia pergi haji secara berpasangan (suami isteri), ini bermakna sejumlah RM30,000 perlu dikunci dalam akaun bagi setiap pasangan.

"Jumlah RM30,000 ini dianggap sangat besar bagi masyarakat di luar bandar ataupun kampung.

"Tabung Haji sepatutnya berfungsi untuk memudahkan umat Islam menunaikan haji, bukannya bertindak seperti entiti perniagaan ketat yang membebankan jemaah dengan syarat kewangan yang berat," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan penetapan simpanan minimum RM15,000 diperkenalkan TH bagi mengurangkan jumlah bakal jemaah menolak tawaran menunaikan ibadah haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata penetapan berkenaan adalah langkah positif bagi memastikan bakal jemaah mempunyai persediaan kewangan mencukupi sebelum menunaikan ibadah haji.

"Apabila ada ketetapan seperti itu, jumlah yang menolak selepas dapat panggilan haji itu berkurangan sangat tinggi. Ia juga mengelakkan daripada TH melakukan perkara berulang, maksudnya buat tawaran, kemudian ditolak, tawaran lagi.

“Jadi, kita tengok dari sudut positif dan ingatan untuk semua termasuk saya juga, sama-samalah kita menuju istito'ah kerana haji itu menuntut kesungguhan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mempersoalkan apakah syarat itu diperkenalkan bagi membolehkan duit pendeposit digunakan untuk tujuan pelaburan.

Katanya, jika benar hasil pelaburan itu perlu dikembalikan semula kepada pendeposit.

"Wang simpanan tersebut sering digunakan sebagai pelaburan, di mana keuntungan sepatutnya dikembalikan kepada penyimpan, bukannya menyekat akses mereka.

"Saya memohon agar rancangan ataupun syarat ini dibatalkan dan pihak berkuasa mencari mekanisme lain yang lebih memudahkan rakyat tanpa menjejaskan persiapan jemaah haji," tambahnya.

Menyentuh mengenai projek pembinaan benteng cegah banjir di Kelantan, Tuan Ibrahim mencadangkan agar projek fasa dua dan fasa tiga dijalankan serentak oleh kerajaan.

Katanya, ia penting bagi mengelak banjir buruk melanda negeri itu khususnya di Rantau Panjang, Tumpat, dan Pasir Mas susulan kejayaan Thailand menyiapkan benteng mereka di Sungai Golok.

Sedangkan kata Tuan Ibrahim, Malaysia baru memulakan projek bagi fasa satu yang dijangka akan siap pada sekitar Julai 2027.

"Terdapat kebimbangan jika fasa satu gagal siap mengikut jadual, manakala fasa dua (di kawasan bandar Rantau Panjang) pula lewat, kawasan Rantau Panjang, Tumpat, dan Pasir Mas akan berdepan banjir yang lebih teruk.

"Justeru, dicadangkan supaya fasa dua dan fasa tiga dibina secara serentak agar projek yang sedang dibina benar-benar berfungsi seperti yang dirancang," katanya lagi.