Bekas perdana menteri Najib Razak tidak akan dapat menikmati tempoh yang lama di rumah meskipun dia mampu membayar denda RM50 juta untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman bagi kesalahan berkaitan 1MDB.

Ini bermakna, sekurang-kurangnya buat masa ini, apabila hukuman penjara Najib bagi kes SRC International tamat pada 23 Ogos 2028, dia perlu kembali ke penjara.

Dalam keputusan yang dibacakan hari ini, hakim Noor Ruwena Md Nurdin mendapati tiada keadaan khas yang membolehkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara bagi kes 1MDB diluluskan.

Terdahulu, mahkamah diminta mempertimbangkan masalah kesihatan Najib. Peguamnya, Shafee Abdullah, mendakwa bekas perdana menteri itu mengalami 14 jenis masalah kesihatan, dengan 10 daripadanya merupakan penyakit kronik.

Antara masalah kesihatan yang dinyatakan dalam permohonan Najib ialah penyakit arteri koronari, ulser peptik, tekanan darah tinggi, dislipidemia, kecacatan bentuk lutut kiri yang disertai osteoartritis, pundi kencing terlalu aktif dan pradiabetes.

Menjawab hujah itu, Noor Ruwena berkata laporan perubatan yang dikemukakan dalam permohonan Najib memberi gambaran bahawa keperluan rawatannya dijaga dengan baik oleh hospital kerajaan dan pakar perubatan.

“Dalam kes jenayah, kepentingan tertuduh perlu sentiasa ditimbang berbanding kepentingan awam, termasuk dalam permohonan seperti yang dikemukakan sekarang.

“Selepas menimbang kepentingan pemohon dengan kepentingan awam, mahkamah tidak bersetuju bahawa isu kesihatan yang dibangkitkan memenuhi ujian keadaan khas," katanya.

Hakim itu turut diminta mempertimbangkan jumlah denda yang disifatkan sebagai “terlalu tinggi” yang perlu dibayar Najib berhubung sabitan kes SRC International. Namun, Noor Ruwena berkata perkara itu tidak boleh dianggap sebagai keadaan khas.

“Denda perlu dibayar sekiranya sabitan dikekalkan. Mengikut amalan semasa, tertuduh tidak perlu membayar denda sehingga rayuan terakhirnya diputuskan. Oleh itu, tiada kewajipan untuk membayarnya sekarang.

“Jika sabitan dibatalkan, maka perkara itu selesai. Itulah pemahaman saya mengenai undang-undang berkaitan denda.

“Walaupun saya membenarkan penangguhan pembayaran denda bagi kes 1MDB, keputusan itu tidak akan mengubah dapatan saya berhubung ujian keadaan khas yang perlu dipenuhi oleh pemohon," katanya.

Dia berkata, mahkamah cenderung bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa keseriusan kes 1MDB merupakan pertimbangan kepentingan awam yang lebih penting dan perlu diambil kira.

Walaupun mengakui Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan terpakai dalam permohonan menangguhkan hukuman, hakim berkata syarat keadaan khas perlu dipenuhi bagi memastikan peruntukan itu digunakan dengan betul.

“Selepas meneliti perkara ini, mahkamah mendapati pemohon gagal memenuhi syarat keadaan khas. Oleh itu, permohonan ini ditolak kerana tidak berasas,” katanya.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang banyak dirujuk dalam pasukan pembelaan Najib dan mahkamah, menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta perlindungan daripada diskriminasi.

Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lalu mensabitkan Najib atas kesemua empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan skandal 1MDB.

Hakim yang mengetuai perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bagi setiap satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa, serta lima tahun penjara bagi setiap satu daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Collin memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak. Ini bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun bagi kesemua 25 kesalahan yang dilakukannya.

Collin turut memerintahkan supaya hukuman bagi kesalahan berkaitan 1MDB hanya bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi sabitan kes SRC International.

Najib, 73, kemudian memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu pada 22 September tahun ini. Dia memohon supaya pelaksanaan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda RM11.38 bilion ditangguhkan sehingga semua saluran rayuannya selesai digunakan.

Tiada sebab untuk kalah

Pasukan peguam Najib, yang kelihatan kecewa dan terkejut dengan keputusan Noor Ruwena, berkata tiada alasan untuk permohonan itu ditolak.

“Tiada sebab untuk kami tewas, terutama mengambil kira hakikat bahawa pihak pendakwaan mengakui kes ini mempunyai peluang rayuan 50-50. Bayangkan, kami hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah.

“Ini bermakna kami tidak perlu mencapai 50 peratus. Berapa peratus pun tidak mengapa, asalkan kami berjaya menimbulkan keraguan.

“Pihak pendakwaan sendiri mengatakan (ketika hujahan) bahawa sabitan ini diragui. Jadi, atas alasan itu sahaja, pihak pendakwaan sudah bermurah hati untuk mengakuinya,” kata Shafee kepada pemberita selepas prosiding hari ini.

Dia berkata pihaknya akan memfailkan permohonan baru untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman Najib dalam kes 1MDB di Mahkamah Rayuan, dan bukannya mengikut prosedur biasa dengan merayu ke Mahkamah Persekutuan.

“Kami yakin berada di landasan yang betul. Kami benar-benar yakin bahawa kami sepatutnya diberikan ikat jamin serta penangguhan pelaksanaan hukuman hari ini.

“Kami tidak merayu terhadap keputusan hari ini. Kami akan ke Mahkamah Rayuan untuk memfailkan permohonan serupa bagi memintas proses rayuan.

“Ini kerana bagi rayuan, kami perlu menunggu penghakiman mahkamah, nota prosiding dan dokumen lain,” katanya.

Dia turut berkata pasukan pembelaan masih belum menerima sebarang tarikh pendengaran bagi rayuan kes 1MDB setakat ini.