Tindakan DAP yang bertali arus menyerang Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menyaksikan pemimpin akar umbi parti itu kini kelihatan panas dan mula digerakkan bagi melancarkan serangan balas.

Antara mereka termasuk Ketua Umno Bahagian Subang, Armand Azha Abu Hanifa, yang menumpukan sasarannya terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang selepas anggota parlimen DAP, RSN Rayer, mendesak di Parlimen pada Isnin agar pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid dibicarakan semula.

Armand Azha Abu Hanifa

Armand mempersoalkan mengapa Rayer tidak bersikap lantang dalam isu projek terowong Pulau Pinang, yang mana Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, sedang berdepan pertuduhan rasuah berhubung projek itu.

Menariknya, Lim sendiri merupakan antara pemimpin DAP yang mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ahmad Zahid berhubung perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kerana berbelanja melebihi peruntukan diluluskan sebanyak RM2.1 bilion.

“Jangan hanya lantang apabila melibatkan pemimpin Umno, tetapi berdiam diri apabila isu yang sama perlu dinilai berdasarkan prinsip dan kayu ukur yang serupa.

“Keadilan dan kedaulatan undang-undang mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira parti politik,” kata Armand seperti dilaporkan oleh Umno Online.

Dia turut menggesa Rayer agar menjaga tutur kata dan memastikan sebarang kenyataan berhubung kes Ahmad Zahid berpandukan perkembangan rasmi serta fakta undang-undang yang tepat.

RSN Rayer

“Berbeza pandangan itu hak demokrasi. Tetapi fakta dan undang-undang tidak seharusnya dijadikan alat permainan politik,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Ketua Umno Bahagian Beruas, Azhar Ahmad, yang berkata Rayer selaku seorang peguam sepatutnya memahami perbezaan antara pertuduhan, keputusan mahkamah dan keputusan pendakwaan sebelum membuat kenyataan terbuka.

Dia memberi amaran agar fakta undang-undang tidak diputar demi keuntungan politik, sambil menambah bahawa kritikan perlulah berteraskan maklumat tepat dan prinsip keadilan.

“Jangan gunakan isu undang-undang sebagai peluru politik. Jika mahu mengkritik, kemukakan fakta tepat dan berhujah dengan bertanggungjawab,” tambahnya.

Semalam, Ketua Penerangan Umno, Azalina Othman Said, turut campur tangan dengan mengingatkan Rayer bahawa perdana menteri tidak mempunyai kuasa pendakwaan.

Azalina Othman Said

Katanya, keputusan peguam negara untuk mendakwa seseorang mesti berasaskan pertimbangan undang-undang, fakta dan bukti, bukannya desakan politik.

Rayer sebelum ini menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memastikan timbalannya, Ahmad Zahid, dibicarakan semula dalam kes Yayasan Akalbudi.

Dia mempersoalkan keputusan menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid dan menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh mengamalkan standard berbeza dalam mengendalikan kes rasuah.

Pada September 2023, Ahmad Zahid diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua 47 pertuduhan melibatkan yayasan berkenaan, sementara menunggu siasatan lanjut oleh SPRM.

Namun, pada Januari tahun ini, Jabatan Peguam Negara mengumumkan bahawa kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno

Pertelingkahan terbaru ini timbul ketika tekanan dan pengawasan yang semakin meningkat terhadap Ahmad Zahid berhubung satu lagi isu.

Pada 6 Oktober, anggota parlimen DAP, Chong Zhemin, membuat laporan SPRM bagi mendesak badan pencegah rasuah itu bertindak tegas terhadap peranan Ahmad Zahid berhubung perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan yang diluluskan dengan perbelanjaan sebenar di bawah Program Jalan Luar Bandar, yang diselia oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad Zahid, yang menerajui kementerian berkenaan, kini berada di bawah pengawasan berhubung jurang perbelanjaan tersebut.