Kes Nhaveen: Pendakwaan kemuka empat alasan utama mohon empat tertuduh disabit kesalahan
Mahkamah Tinggi di George Town hari ini diberitahu bahawa terdapat empat alasan utama bagi pihak pendakwaan memohon supaya empat tertuduh dalam kes pembunuhan remaja T Nhaveen, sembilan tahun lepas disabitkan kesalahan, dengan mendakwa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari berkata antara alasan itu ialah percanggahan antara versi pembelaan ketika kes pendakwaan dengan keterangan tertuduh pada peringkat membela diri pada minggu lepas.
Beliau berkata pembelaan kempat-empat tertuduh berubah apabila mereka memberi keterangan sendiri, khususnya berhubung dakwaan seorang daripada mereka yang merupakan remaja ketika kejadian, dipukul menggunakan topi keledar sehingga pengsan oleh T Previin (rakan Nhaveen), ketika cuba meleraikan pergaduhan.
Mohd Amril menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai difikirkan kemudian (after thought), kerana tidak dibangkitkan lebih awal, selain berkata percanggahan dalam keterangan tertuduh menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti pembelaan.
“Alasan pembelaan pada peringkat kes pendakwaan bercanggah totally different dengan pembelaan pada peringkat sekarang. So, they are shifting the goalposts.
“Teori pendakwaan juga langsung tidak mempertikaikan kewujudan mereka (tertuduh) di kedua-dua tempat kejadian, iaitu Jalan Kaki Bukit dan Padang Openg, Gelugor,” katanya pada perbicaraan pembelaan empat individu atas pertuduhan membunuh Nhaveen.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan laporan perubatan bagi menyokong dakwaan tertuduh yang mengalami kecederaan sehingga pengsan, selain isu panggilan telefon seorang tertuduh J.Ragesuthen, 27, menghubungi ibu Nhaveen, T. Shanti pada malam kejadian, yang dibangkitkan dalam kes itu turut disokong oleh keterangan saksi.
Mohd Amril juga meminta mahkamah meneliti perbezaan antara alasan penghakiman ringkas Mahkamah Rayuan, yang mengarahkan empat tertuduh membela diri dengan alasan penghakiman penuh dalam rayuan berkaitan seorang lagi responden iaitu S. Gopinaath, 35, yang dilepas dan dibebaskan.
Bagaimanapun, peguam Maanveer Singh Dhillon yang mewakili keempat-empat tertuduh berhujah bahawa, masih terdapat keraguan munasabah mengenai bagaimana dan lokasi kecederaan yang membawa kepada kematian Nhaveen berlaku.
Beliau berkata Nhaveen masih hidup selepas kejadian di Jalan Kaki Bukit dan menaiki motosikal bersama-sama individu yang dikenali sebagai “Belang”, namun apa yang berlaku selepas itu tidak dapat dipastikan, berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah.
Maanveer Singh berkata keterangan saksi pendakwaan dan bukti perubatan perlu dinilai secara menyeluruh, termasuk persoalan sama ada kecederaan yang dialami Nhaveen berlaku di lokasi pergaduhan atau selepas beliau dibawa pergi.
Beliau turut mempersoalkan perbezaan jumlah individu yang dikatakan terlibat dalam kejadian berdasarkan beberapa versi keterangan dan menegaskan bahawa pihak pembelaan, tidak menafikan berlakunya pergelutan di Jalan Kaki Bukit, tetapi mempertikaikan sama ada kejadian itu menyebabkan kematian Nhaveen.
Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid kemudian menetapkan 16 Nov depan, untuk pengurusan kes bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan tambahan, sebelum tarikh keputusan ditetapkan.
Empat tertuduh iaitu Ragesuthan, S Gokulan, 27, dan dua lagi individu yang merupakan remaja ketika kejadian memberikan pernyataan saksinya pada 8 dan 9 Okt.
Pendakwaan dikendalikan Mohd Amril, Yazid Mustaqim Roslan dan Noor Azura Zulkiflee, manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Maanveer Singh, R. Thevan dan Lim Sheng Zhe. Peguam T.Gunaseelan menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Nhaveen.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan Ragesuthan, Gokulan dan dua remaja membela diri atas pertuduhan membunuh Nhaveen, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan mereka pada 3 Okt 2023.
Mereka juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan Previin berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara 11 malam hingga 12 tengah malam 9 Jun 2017.
Nhaveen meninggal dunia pada 15 Jun 2017 selepas enam hari dirawat di Hospital Pulau Pinang, akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam kejadian berkenaan.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/1123/bf3835fb646c20606f2b7ce4e4f39348.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.