Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi cuba memujuk Anthony Loke untuk kekal sebagai menteri pengangkutan. Bagaimanapun, kira-kira 40km di utara pusat pentadbiran negara, awan mendung mula menyelubungi perarakan kepulangan bekas perdana menteri Najib Razak.

Anwar menegaskan bahawa "orang baik" seperti Loke tidak sepatutnya ditunjukkan jalan keluar; sebaliknya mereka yang terpalit dengan rasuah yang mesti berundur.

Negara, tegasnya, memerlukan pemimpin berprinsip yang mengambil berat tentang rakyat, terutamanya golongan di tangga terendah sosioekonomi.

"Ini bukanlah saya nak puji sebab beliau (Loke) sini. Pasal apa orang baik macam ini dia nak berhenti?

“Yang nak berhenti orang yang rasuahlah. Orang baik ini kita nak pertahan. Orang ini yang penting dalam negara kita," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya hari ini.


Anwar turut memaklumkan bahawa dia telah memberitahu setiausaha agung DAP itu bahawa keputusan memberi tahanan rumah kepada seseorang banduan bukan di bawah bidang kuasa perdana menteri, kerana perkara itu diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Saya mahu ambil kesempatan ini untuk minta dia kekal dan jalankan tugasnya," katanya lagi.

Kemelut baru Najib

Ketika Anwar sibuk memujuk Loke untuk kekal memegang jawatan, Najib pula berdepan kemelut berbeza di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun bagi pertuduhan berkaitan 1MDB ditolak.

Ini bermakna, walaupun bekas perdana menteri itu membayar denda RM50 juta bagi memenuhi syarat tahanan rumah, kepulangannya mungkin tidak lama.


Loke sebelum ini mengumumkan pada 19 Sept bahawa dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri pengangkutan susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengampunan tambahan kepada Najib dalam bentuk tahanan rumah.

Bagaimanapun, dia menambah bahawa Anwar memintanya kekal memegang jawatan sehingga Najib pulang ke rumah.

Loke ubah pendirian?

Menurut Anwar, negara memerlukan pemimpin yang prihatin terhadap nasib rakyat dan bukan sekadar bijak berpolitik atau mengeluarkan kenyataan.

Katanya, meskipun tidak semua masalah rakyat dapat diselesaikan dalam masa singkat, kesungguhan dan niat baik seseorang pemimpin perlu diberikan perhatian.

"Kita hendak pilih menteri atau pemimpin yang prihatin tentang nasib orang. Selesai semua masalah satu hari memang tak boleh tetapi kena ada niat yang baik," katanya.

Sebelum ini, PAS dan Umno menuduh Loke mengubah pendirian, dengan berhujah bahawa dia tidak perlu menunggu sehingga Najib pulang ke rumah untuk meletakkan jawatan kerana keputusannya untuk berundur berpunca daripada keputusan Lembaga Pengampunan sejak awal lagi.


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan syarat berkenaan sebagai " drama... opera..."

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 2022 mengekalkan sabitan terhadapnya atas tujuh pertuduhan SRC International melibatkan RM42 juta.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman asal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada enam tahun dan RM50 juta pada 2024.