Semacam ada kesepakatan yang tidak bertulis tertancap dalam fikiran masing-masing. Pedulilah apa pun latar belakang masing-masing, setiap anggota skuad Malayan Tigress B17 itu mempunyai misi yang satu – membuat Malaysia bangga.

Ia kelihatan begitu hampir untuk mencipta sejarah. Matlamat akhir mereka baru-baru ini ialah layak buat kali pertama ke kejohanan bola sepak peringkat Asia, sekali gus mengangkat nama negara setakuk lebih tinggi.

Namun hajat itu tidak kesampaian apabila dalam perlawanan penentuan itu Malayan Tigress terpaksa tunduk 0-4 kepada skuad kebangsaan India.

Bagi Isabella Saffiya O’Luanaigh, semua pemain ingin membanggakan Malaysia dan membuktikan skuad B17 itu mampu bersaing dengan pasukan lain di peringkat benua.

Tambahan pula mereka menyaksikan sendiri sokongan padu yang diberikan peminat tanah air. Kebetulan pula perlawanan tersebut berlangsung di tanah air sendiri.

Namun takdir terpaksa tunduk kepada India tidak mampu diubah.

“Sudah tentu kami rasa sangat kecewa sebab hanya sedikit saja lagi untuk layak.

“Kami semua sedaya upaya mahu membanggakan Malaysia,” kata pemain yang baru berusia 14 tahun itu kepada Malaysiakini.

Dia yang juga cucu cef selebriti, Chef Wan, menambah walaupun kalah, kekecewaan itu pada masa sama membakar semangat masing-masing untuk kembali beraksi dengan lebih baik.

“Kami juga mendapat pengajaran bahawa tidak boleh berasa selesa kerana sentiasa ada pasukan yang lebih baik daripada kita, sebab itu kita kena bekerja lebih keras.

“Kami perlu berusaha dan berlatih lebih gigih,” katanya yang berharap suatu hari nanti skuad berkenaan mampu berdiri sama tinggi dengan skuad India, Jepun dan Filipina.

Skuad Malayan Tigress B17 sebelum itu berada di landasan untuk mencipta sejarah gemilang selepas membuka kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Wanita 2027 dengan dua kemenangan berturut-turut di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.

Sejarah indah buat semua

Malaysia menewaskan Syria 1-0 sebelum mencatat kemenangan 4-0 ke atas Iraq, sekali gus menjadikan pertemuan terakhir menentang India sebagai aksi penting dalam menentukan pasukan yang akan mara ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, impian skuad negara terkubur selepas tewas 0-4 kepada India, meletakkan Malaysia di tempat kedua Kumpulan E manakala India muncul sebagai juara kumpulan dan meraih tiket ke pusingan akhir di China.

Rakan sepasukan Isabella Saffiya, Keisha Adeliena Muhammad Khalid, pula menyifatkan kekalahan 0-4 kepada India itu sebagai detik yang amat menyakitkan dan ia sukar diungkapkan.

Anak kepada bekas pemain kebangsaan, Khalid Jamlus, itu memberitahu Malaysiakini, dia menangis selama dua hari berturut-turut apabila hajat untuk bersaing di peringkat Asia belum kesampaian.

“Ia adalah antara kekecewaan yang paling teruk pernah saya rasa,” katanya.

Keisha Adeliena, 15, juga memberitahu, sebaik saja wisel penamat perlawanan menentang India dibunyikan pengadil, masing-masing menahan perasaan yang amat perit.

Hal itu kerana, katanya, mereka sedar peluang sudah tertutup walaupun ia sangat hampir untuk digapai.

“Kami bukan saja mahu mencipta sejarah untuk diri sendiri, tetapi yang lebih penting untuk semua yang menyokong kami.

“Kami amat menghargai sokongan dan kekentalan semua pihak yang datang menyaksikan kami membesar menjadi pasukan seperti hari ini,” katanya.

Sementara itu, bagi penjaga gol Putri Aina Husna Mohd Subri, meluahkan bagaimana dia ‘berperang’ melawan gementar demi menjaga gawang sekali gus maruah negara.

Dia sedar di dada masing-masing ada Jalur Gemilang yang amat besar maknanya.

Namun pada masa sama dia juga sedar skuad kendalian Takayoshi Ishihara itu belum pernah bertemu dengan pasukan India.

“Gugup tu memang ada sebab tanpa pengalaman menentang India, kami tak tahu taktik dan permainan mereka.

“Sebab itu ada sedikit perasaan gugup semasa di atas padang.

“Tapi demi negara, kami kena hadap apa juga cabaran yang datang. Apa juga perasaan yang dialami, kami kena tolak ke tepi, yang penting lawan dulu.

“Mana yang kami mampu buat, kami buatlah,” katanya.

Ingat angka yang membawa makna

Dan ternyata Putri Aina Husna benar. Tanpa ketangkasan aksinya menjaga gawang, kemungkinan skuad Malayan Tigress B17 itu akan dibolosi lebih banyak gol melalui kesebelasan pemain India.

Sesiapa yang menyaksikan perlawanan tersebut tentu masih ingat bagaimana pemain yang baru berusia 15 tahun itu menafikan cubaan demi cubaan pihak lawan.

Pada masa sama, pasukan India juga mengekang ketat pergerakan anak buah Ishihara itu sehingga tidak banyak peluang atau gerakan berbahaya mampu dicipta.

Namun, di sebalik kekecewaan gagal melangkah lebih jauh, ada satu perkara yang meninggalkan kenangan manis buat Putri Aina Husna – dukungan penyokong di Stadium Selayang.

“Sebelum ni tak pernah lagi ada peminat yang ramai gila macam malam tu.

“Semasa kami beraksi menentang India pada hari tersebut, orang yang kita tak pernah kenal pun nak tangkap gambar dengan kami. Memang seronok dan terharu," katanya.

Malah, ada detik lain yang melekat dalam fikiran Putri Aina Husna.

Dia sempat melihat papan skor elektronik yang ada di gelanggan berkenaan. Di situ tertera jumlah penonton yang hadir, dan sebagai bukti ia sangat bermakna, Putri Aina Husna mengingati angka yang dipaparkan: 2,664.

“Pada skrin TV besar itu ditayangkan jumlah penonton. Saya memang ingat angka tu,” katanya sambil menyifatkan kehadiran berkenaan antara memori terbaiknya bersama skuad negara.

Satu sisi lain yang turut membekas daripada keringat yang ditumpahkan anggota skuad B17 itu ialah semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini yang melangkaui satu kaum.

Bagi Keisha Adeliena, ia ‘melengkapkan’ keberadaan skuad kebangsaan sekarang.

Katanya, ketika ini skuad B17 itu dianggotai oleh pelbagai kaum – Melayu, India, Cina dan lain-lain.

Baginya itu adalah kekuatan unik Malayan Tigress berkenaan. Ia menjadi lebih membanggakan apabila penyokong yang memberikan dukungan juga melibatkan pelbagai kaum.

“Kami bukan sahaja berjuang untuk diri sendiri atau rakan sepasukan, malah kami berjuang demi negara dan setiap rakyat Malaysia yang meletakkan kepercayaan kepada kami.

“Itulah keistimewaan sukan bola sepak ini,” katanya.