Seorang pelajar Tingkatan 4 didakwa membunuh dalam kes kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.

Pertuduhan dibacakan di mahkamah majistret Batu Pahat tetapi tiada pengakuan dibuat kerana kes pembunuhan perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Nama tertuduh berusia 16 tahun tidak dilaporkan media mengikut konvensyen apabila melaporkan kes membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Menurut Berita Harian, remaja lelaki itu didakwa membunuh Irene Sofiya di dewan sekolah SMK Dato Seth di Yong Peng antara 2.30 petang dan 4 petang pada 3 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang boleh dihukum sama ada hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Disember ini bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan mendapatkan laporan patologi forensik dan bedah siasat. Tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Polis sebelum ini dilaporkan berkata kematian Irene Sofiya berpunca daripada trauma tumpul. Sebatang besi dipercayai menjadi senjata pembunuhan.