Dalam politik, apabila semua parti mahu menang tetapi semakin sukar menang sendirian, meja rundingan akhirnya menjadi lebih penting daripada pentas ceramah.

Itulah yang sedang berlaku di Melaka.

Ketua Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat baru-baru ini menegaskan PH tidak menutup ruang untuk bekerjasama dengan BN atau Bersatu, manakala kenyataan bahawa PH tidak akan bekerjasama dengan BN disifatkan sebagai pandangan peribadi.

Mengapa begitu susah?

Jawapan mudahnya, setiap parti mempunyai kekuatan. Tetapi jawapan yang lebih jujur ialah setiap parti juga mempunyai kelemahan dan sebahagiannya mungkin tidak cukup kuat untuk berdiri sendiri.

Keputusan PRN Melaka 2021 memberi gambaran jelas. BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, PH lima dan PN dua. Tetapi politik hari ini sudah berubah. Kemenangan lalu tidak boleh dianggap sebagai cek kosong untuk pilihan raya akan datang.

Maka kerjasama bukan lagi semata-mata soal ideologi. Ia soal survival politik, pembahagian kerusi, pemindahan undi dan kemampuan meyakinkan pengundi bahawa gabungan itu benar-benar boleh berfungsi selepas pilihan raya.

Di sinilah muncul masalah kedua: baggage.

Parti bukan sahaja membawa logo. Ia membawa sejarah, rekod pentadbiran, kenyataan pemimpin, kontroversi dan persepsi yang melekat pada jenama politiknya.

Sesiapa yang bergabung dengan BN, misalnya, mungkin mendapat manfaat daripada jaringan organisasi dan pengalaman pemerintahan. Tetapi pada masa sama, mereka juga perlu berdepan persoalan mengenai integriti dan persepsi terhadap pengurusan institusi negara yang pernah dikaitkan dengan era BN.

Begitu juga isu institusi Raja. Dalam politik Malaysia, persepsi terhadap pendirian sesuatu parti mengenai Raja-Raja Melayu bukan perkara kecil.

Sebab itu sesetengah parti mungkin melihat kerjasama sebagai aset, tetapi pada masa sama sebagai liabiliti.

Baggage itu tidak semestinya hilang apabila dua logo disatukan.

Kadangkala ia berganda.

Percanggahan dalaman yang kita lihat sekarang juga boleh memberi kesan kepada pengundi. Apabila pemimpin parti mengatakan satu perkara, pemimpin lain mengatakan perkara berbeza, pengundi tidak semestinya melihatnya sebagai demokrasi dalaman.

Sebahagian mungkin bertanya: kalau mereka sendiri belum sepakat, bagaimana mereka mahu mentadbir bersama?

Dalam pilihan raya, ketidakpastian mempunyai kos.

Pengundi bukan hanya bertanya, “Siapa calon saya?”

Mereka semakin bertanya, “Kalau saya undi parti ini, dengan siapa mereka akan duduk selepas keputusan diumumkan?”

Itulah paradoks politik gabungan: semakin banyak parti bercakap tentang prinsip, semakin ramai pengundi mahu tahu harga prinsip itu selepas pilihan raya.

Persoalan yang lebih besar ialah kesan gabungan yang dibina semata-mata atas aritmetik kerusi.

Aritmetik boleh menjawab siapa mempunyai majoriti. Ia tidak menjawab bagaimana mereka mahu mentadbir.

Jika formula kerjasama hanya “asal cukup nombor”, perbezaan mengenai ekonomi, pendidikan, agama, institusi, reformasi dan tadbir urus boleh muncul selepas pilihan raya.

Kerajaan mungkin stabil dari segi angka, tetapi rapuh dari segi dasar.

Dan Melaka mungkin sebenarnya hanya trailer kepada filem yang lebih besar.

Jika sebuah negeri pun memerlukan begitu banyak pengiraan, bayangkan rundingan membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU16.

Di peringkat nasional, Sabah dan Sarawak bukan sekadar tambahan beberapa kerusi. Politik mereka mempunyai sejarah, kepentingan wilayah dan tuntutan yang berbeza daripada Semenanjung.

Justeru, selepas PRU16 nanti, rundingan bukan sekadar “siapa dengan siapa”.

Ia mungkin menjadi: siapa dengan siapa, atas syarat apa, dengan dasar apa, dan siapa sanggup menanggung baggage siapa.

Inilah realiti politik Malaysia yang sedang berubah.

Kerjasama mungkin semakin diperlukan.

Tetapi semakin diperlukan sesuatu kerjasama, semakin mahal harga untuk membinanya.

Dan akhirnya pengundi mungkin bukan menghukum parti kerana enggan bekerjasama.

Mereka mungkin menghukum parti kerana tidak mampu menjelaskan mengapa mereka bekerjasama.


AHMAD ZAHARUDDIN SANI Perunding kanan di Asia Global Consulting dan mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.