Hampir lima dekad yang lalu, sebuah pulau kecil di perairan Terengganu menjadi tempat perlindungan sementara kepada puluhan ribu pelarian warga Vietnam.

Kini, nama Pulau Bidong kembali muncul dalam perbahasan mengenai bagaimana Malaysia harus menangani pelarian Rohingya.

Ini susulan cadangan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari agar kerajaan mewujudkan pusat penempatan terkawal untuk pelarian Rohingya seperti ketika Pulau Bidong dijadikan kem pelarian warga Vietnam pada 1970-an.

Menurut Fadhli, pendekatan itu boleh dipertimbangkan bagi membolehkan pelarian Rohingya ditempatkan di satu kawasan khusus dan terkawal, berbanding hidup secara berselerak dalam komuniti.

Dia turut mencadangkan kerajaan menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan kos, termasuk bagi penempatan berskala lebih kecil yang menempatkan sekitar 10,000 hingga 20,000 orang sekiranya jumlah keseluruhan pelarian Rohingya terlalu besar untuk ditempatkan dalam satu pusat.

Justeru, menarik untuk diimbas semula perisitiwa pada 1975, selepas kejatuhan Vietnam Selatan kepada kerajaan komunis Vietnam Utara. Pada ketika itu, ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial mendorong ramai rakyat Vietnam melarikan diri melalui laut dan mencari perlindungan di negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Mereka kemudian dikenali sebagai "boat people" atau Orang Hanyut Vietnam (OHV), dengan jumlah yang tiba di perairan Malaysia meningkat dengan ketara pada penghujung 1970-an.

Keperluan untuk sebuah pusat penempatan khusus semakin mendesak apabila jumlah ketibaan melonjak. Pada 1978, kira-kira 63,000 pelarian Indochina tiba di Malaysia melalui laut, berbanding kurang 6,000 pada tahun sebelumnya.

Mengapa Pulau Bidong?

Pulau Bidong merupakan sebuah pulau tidak berpenghuni seluas kira-kira 203 hektar di perairan Terengganu.

Sebahagian besar bentuk muka buminya berbukit, dengan hanya kira-kira 12 hektar kawasan tanah rata. Kedudukannya yang terlindung pula menjadikan pulau itu antara lokasi persinggahan nelayan untuk berlindung ketika musim monsun.

Dengan persetujuan kerajaan negeri Terengganu, Pulau Bidong yang sebelum itu tidak berpenghuni diwartakan sebagai pusat penempatan OHV pada 1 Ogos 1978.

Penempatan khusus itu diwujudkan bagi memudahkan kawalan keselamatan dan penyaluran bantuan kepada pelarian.

Walau bagaimanapun, Pulau Bidong bukan satu-satunya lokasi yang digunakan ketika itu. Kumpulan pelarian yang lebih kecil turut ditempatkan di beberapa lokasi lain termasuk Pulau Besar, Pulau Tengah, Mersing, Cherating dan di Kuantan.

Penempatan sementara, bukan kekal

Malaysia menerima mereka atas dasar kemanusiaan. Malaysia tidak berhasrat menjadikan mereka penduduk kekal, sebaliknya mahu mereka ditempatkan sementara sebelum dipindahkan ke negara ketiga.

Di Pulau Bidong, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan pihak berkuasa menyediakan keperluan asas seperti makanan, bekalan air, rawatan kesihatan dan tempat perlindungan kepada pelarian yang ditempatkan di situ.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dalam satu temu bual pada 2017 yang dipetik dalam kajian mengenai pengurusan pelarian Vietnam, berkata jumlah ketibaan yang semakin ramai ketika itu mencetuskan kebimbangan bahawa Malaysia tidak mampu menempatkan mereka semua.

“Kita khuatir kita tidak boleh tempatkan mereka semua di sini (Malaysia), rundingan dibuat dengan Amerika dan Australia juga supaya kita jadi half-house sahaja.

“Mereka datang ke sini sementara menunggu dipindahkan ke Amerika dan Australia,” katanya.

‘Mini Saigon’ ditutup

Sepanjang tempoh operasinya, seramai 252,390 OHV direkodkan pernah berada di Pulau Bidong.

Pulau itu turut dikenali “Mini Saigon” kerana kepadatan penduduk dan pelbagai kegiatan yang berkembang di situ ketika kem tersebut beroperasi.

Namun menjelang penghujung 1980-an, Malaysia berdepan kesukaran apabila jumlah pelarian terus meningkat sedangkan proses penempatan semula ke negara ketiga tidak sentiasa dapat dilakukan dengan segera.

Pada Mac 1989, kira-kira 16,000 pelarian Vietnam masih berada di Pulau Bidong, ketika kerajaan sudah mula membincangkan penutupan pusat berkenaan.

Penggunaan pulau itu turut menimbulkan isu dengan masyarakat setempat apabila nelayan tidak lagi bebas menggunakan kawasan tersebut untuk menangkap ikan atau berlindung ketika cuaca buruk.

Pulau Bidong akhirnya ditutup dan diserahkan semula kepada kerajaan Terengganu pada 30 November 1991, menamatkan lebih sedekad peranannya sebagai salah satu pusat utama penempatan sementara pelarian Vietnam di Malaysia.

Demonstrasi menjelang penutupan

Menjelang penghujung operasi pusat penempatan itu, ketegangan tercetus apabila sebahagian OHV membantah proses saringan yang menentukan sama ada mereka layak ditempatkan semula di negara ketiga atau perlu dihantar pulang ke Vietnam.

Bekas Penguasa Penjara Saidun Othman, yang ketika itu bertugas bersama pasukan keselamatan di Pulau Bidong, pernah menceritakan kepada Berita Harian bahawa demonstrasi tersebut berlarutan kira-kira seminggu dan disusuli mogok lapar.

Pada kemuncaknya, sebahagian penghuni dilaporkan mencederakan diri sendiri menggunakan senjata tajam sebagai tanda protes.

Menurut Saidun, mereka bagaimanapun tidak menyerang anggota keselamatan dan demonstrasi itu akhirnya berakhir selepas beberapa rundingan.

Pada 1991, kerajaan kemudian memutuskan untuk menutup pusat penempatan di Pulau Bidong dan memindahkan baki penghuni ke Kem Sungai Besi di pinggir Kuala Lumpur.

Ketika keputusan itu diumumkan pada Ogos tahun tersebut, lebih 3,000 pelarian masih berada di Pulau Bidong, manakala kira-kira 11,000 lagi sudah ditempatkan di Sungai Besi.

Namun perpindahan itu tidak menamatkan ketegangan. Pada Jun 1995, lebih 4,000 penghuni Kem Sungai Besi merobohkan pagar dan keluar dari kem untuk mengadakan demonstrasi membantah usaha menghantar mereka pulang ke Vietnam.

Dua bulan kemudian, penghuni turut memutuskan bekalan elektrik kem sebagai satu lagi bentuk bantahan terhadap proses penghantaran pulang.

Ketegangan memuncak sekali lagi pada Januari 1996 apabila kira-kira 4,000 penghuni merusuh selepas membantah pemeriksaan polis di kem tersebut.

Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk mengawal keadaan, manakala 17 penghuni serta tujuh anggota polis dilaporkan cedera.

Kem Sungai Besi akhirnya ditutup secara rasmi pada 25 Jun 1996 selepas kumpulan terakhir pelarian Vietnam dihantar pulang, sekali gus menamatkan lebih dua dekad episod pelarian Vietnam di Malaysia.