Lawyers for Liberty (LFL) menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan gangguan bekalan air di Penjara Kajang.

Keadaan itu menyaksikan banduan terpaksa menunggu beberapa jam hanya untuk memenuhkan satu baldi, sukar mendapatkan air minuman dan dalam sesetengah kes, tidak dapat menggunakan tandas selama beberapa hari.

Dakwaan tersebut membangkitkan kebimbangan serius mengenai tahap kebersihan asas, sanitasi serta kesihatan lebih 5,000 banduan di penjara berkenaan, termasuk banduan paling berprofil tinggi, bekas perdana menteri Najib Razak.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Penjara bagi mendapatkan ulasan.


Dalam satu kenyataan pagi ini, penyelaras komunikasi LFL, Thiruna Jayshan Jaya Kumar berkata mereka menerima aduan pada 12 Okt daripada peguam yang mewakili tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) mengenai krisis bekalan air di penjara itu.

Menuntut penjelasan daripada kerajaan dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Thiruna berkata situasi tersebut tidak boleh diterima dan memberi amaran ia menjejaskan kebersihan, sanitasi serta kesihatan keseluruhan penghuni penjara.

"Ini bukan kesulitan kecil. Ia melibatkan syarat paling asas yang diperlukan untuk maruah dan kesejahteraan manusia.

"Kesannya jelas kelihatan apabila peguam cuba mendapatkan arahan daripada anak guam sebagai persediaan prosiding mahkamah.

“Masalah ketara untuk mendapatkan air dan kemudahan mandi menyebabkan bau badan yang amat busuk, sekali gus mencerminkan sejauh mana kebersihan asas telah terjejas," katanya.

Thiruna menyenaraikan beberapa masalah yang didakwa berlaku di penjara berkenaan:

  • Bekalan air sangat perlahan: Air dilaporkan mengalir begitu perlahan sehingga mengambil masa beberapa jam untuk memenuhkan satu baldi sebelum bekalan terputus sepenuhnya.

  • Air minuman tidak mencukupi: Setiap bilik dilaporkan hanya diperuntukkan satu liter air minuman sehari, jumlah yang disifatkan LFL sebagai amat tidak mencukupi dan berpotensi memudaratkan kesihatan banduan.

  • Banduan tidak dapat guna tandas: Sesetengah banduan mendakwa tidak dapat menggunakan tandas sehingga dua hari disebabkan ketiadaan air.


  • Sukar untuk mandi: Hanya seorang banduan dalam sel tertentu yang dapat mandi setiap hari, menyebabkan penghuni lain tidak berpeluang menjaga kebersihan diri dan sanitasi asas. Pada pagi 12 Okt, sesetengah banduan dilaporkan hanya dapat mandi kira-kira jam 3 pagi selepas pegawai penjara membawa masuk beberapa baldi air yang terhad.

  • Dulang makanan kotor dan makanan tidak bersih: Dulang makanan didakwa sangat kotor dan tidak bersih, manakala makanan yang dihidangkan kepada banduan turut dilaporkan tidak bersih.

Thiruna berkata masalah bekalan air di Penjara Kajang bukan perkara baharu, sebaliknya berlarutan bertahun-tahun tanpa sebarang penyelesaian.

"Laporan mengenai kemudahan uzur dan kebimbangan terhadap kebersihan air telah berlarutan bertahun-tahun. Kualiti air minuman banduan juga sentiasa menjadi punca kebimbangan. Justeru, persoalan perlu dijawab: mengapa Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan terus gagal menyelesaikan isu asas ini?

"Kita perlu ingat bahawa individu yang ditahan adalah manusia. Tanpa mengira hukuman penjara yang perlu dijalani, mereka tetap berhak mendapat perlakuan perikemanusiaan dan keperluan asas. Penahanan tidak bermakna penafian maruah dan hak asasi," katanya.

Thiruna menarik perhatian bahawa kerangka undang-undang terpakai, termasuk Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan perlindungan perlembagaan di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, menegaskan kepentingan penahanan yang sah serta perlindungan nyawa dan kebebasan diri.

"Ini adalah gesaan untuk standard minimum kemanusiaan, maruah dan kesopanan yang mesti diberikan kepada setiap orang dalam tahanan. Kerajaan dan pihak berkuasa penjara tidak boleh menunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk sebelum mengambil tindakan," katanya.