Jerebu: KKM nasihat, KPM dan KPT putuskan penutupan institusi - Dzulkefly
Kementerian Kesihatan (KKM) hanya berperanan memberi nasihat kesihatan berhubung penutupan institusi pendidikan susulan jerebu, manakala keputusan akhir terletak pada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata KKM mengesyorkan aktiviti luar bilik darjah, kokurikulum dan sukan dihadkan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
“Apabila IPU melebihi 100, KKM akan mengeluarkan nasihat agar semua aktiviti luar bilik darjah, kokurikulum dan sukan dihadkan.
“Manakala apabila IPU melebihi 200, sekolah, tadika dan taska dinasihatkan agar ditutup,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Dzulkefly menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanya sama ada KPM atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merujuk KKM sebelum mengeluarkan notis penutupan sekolah susulan keadaan jerebu ketika ini.
Dia berkata, KPM dan KPT turut mempunyai peranan masing-masing berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Katanya, keputusan akhir mengenai penutupan institusi pendidikan terletak pada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/93bb63160f8cf8181398fa78265cfa13.jpg)
Sementara itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti sukan dan rekreasi di luar, berada di dalam bangunan jika boleh serta memakai pelitup muka ketika berada di luar, khususnya golongan rentan.
Dalam jawapan sama, Dzulkefly mendedahkan peningkatan kes penyakit berkaitan jerebu berdasarkan pemantauan di 78 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh negara.
Pada minggu epidemiologi ke-36, kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) meningkat 167 peratus kepada 7,065 kes, manakala kes asma naik 127 peratus kepada 1,117 kes.
Kes konjunktivitis turut meningkat 83 peratus kepada 334 kes dalam tempoh sama.
Pada minggu epidemiologi ke-40 pula, KKM merekodkan 5,613 kes URTI, iaitu peningkatan hampir 60 peratus, menurut Dzulkefly.
Bagi memperkukuh pemantauan dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes, KKM meningkatkan pemantauan menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) mulai minggu epidemiologi ke-32, iaitu dari 9 hingga 15 Ogos.
Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan kemudian diaktifkan pada 4 September bagi memperkukuh pemantauan, penyelarasan tindakan dan respons kesihatan awam.
KKM turut menambah 841 unit AeroChamber untuk orang dewasa, 396 unit untuk kanak-kanak dan 556 unit nebulizer bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes.
Dzulkefly berkata, KKM turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk memantau keadaan jerebu serta menyelaraskan tindakan berkaitan kesihatan awam.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/3456353_175793.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.