'Sudah lupa kes mata lebam Anwar?' - Rayer desak penjelasan kes mati dalam tahanan
PARLIMEN | RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) membangkitkan insiden serangan yang menyebabkan “mata lebam” terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis hampir tiga dekad lalu, bagi menuntut penjelasan berhubung kematian Noorizwan Zulkefly, 42.
Ahli Parlimen DAP itu mengingatkan bahawa gerakan Reformasi sendiri sebahagiannya terbentuk akibat kemarahan terhadap serangan ke atas Anwar semasa ditahan pada 1998.
Dia memberi amaran bahawa dakwaan kekerasan terhadap tahanan seumpama itu tidak boleh dibiarkan berterusan di bawah pentadbiran Madani.
"Saya ingin ingatkan pada kerajaan: perdana menteri kita telah mengalami pengalaman pahit ini. Ketika kita memulakan gerakan Reformasi.
"Takkan kita dah lupa apa berlaku ketika YAB Perdana Menteri dibelasah satu ketika dahulu?” kata Rayer dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.
Merujuk kepada insiden “mata lebam” Anwar yang mendapat liputan meluas selepas dia diserang dalam tahanan polis, Rayer berkata:
"The ‘black eye’ incident, saya ingat semua masih ingat ketika YAB PM ditahan, dipukul dan dibelasah oleh ketua polis negara. Lebih kurang 30 tahun berlalu, kejadian ini masih berulang."
Anwar diserang oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Rahim Noor, semasa ditahan di lokap Bukit Aman pada September 1998.
Rayer, yang juga seorang peguam, mengulas mengenai kematian Noorizwan pada 1 Oktober selepas lelaki itu menghabiskan kira-kira 10 hari dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Rayer berkata dia difahamkan Noorizwan telah berada dalam tahanan selama kira-kira 12 hari, walaupun keluarganya sebelum ini menyatakan dia ditangkap pada 20 September dan meninggal dunia pada 1 Oktober.
Rayer mempersoalkan dakwaan bahawa Noorizwan terjatuh semasa dalam tahanan, sambil merujuk kepada kecederaan yang menurut keluarganya ditemui selepas kematian mangsa.
"Takkan jatuh dalam lokap akan mengalami patah enam tulang rusuk dan kecederaan saraf tunjang? Perkara ini telah menjadi isu sekarang, jadi saya sebagai ahli parlimen backbencher dan seorang peguam, ingin bertanya kepada Ketua Polis Negara, tak boleh berdiam diri," katanya.
Keluarga Noorizwan sebelum ini menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui apa-apa tentang penahanannya sehinggalah selepas kematiannya.
Keluarga tersebut menyatakan bahawa mereka tidak dimaklumkan mengapa dia ditangkap, di mana penangkapan itu berlaku, atau kes apa yang sedang disiasat terhadapnya.
Peguam mereka, N Surendran—yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty—mendakwa bahawa hasil bedah siasat menunjukkan Noorizwan meninggal dunia akibat traum tumpul (blunt force trauma).
Gambar-gambar yang diberikan oleh pihak keluarga menunjukkan kecederaan termasuk bengkak pada kaki dan lutut, luka pada bahagian belakang badan dan pergelangan tangan, tulang rusuk yang patah, serta kecederaan parah pada bahagian kepala.
Rayer berkata hari ini bahawa keadaan sebegini menuntut penjelasan daripada pucuk pimpinan polis dan Kementerian Dalam Negeri.
"Ini tidak boleh berlaku. Ini adalah legasi warisan kerajaan dahulu, tidak boleh berlaku bawah kerajaan kita. Ini mengejutkan. Berlaku di ibu kota, sekarang," tegasnya.
Desakan supaya pegawai digantung tugas
Rayer turut menggesa agar anggota polis yang terlibat dalam penahanan dan siasatan terhadap Noorizwan digantung tugas, sementara menunggu siasatan dijalankan.
Dia juga mendesak pihak polis untuk menyiasat kematian tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
“Saya menggesa Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri, dan Kementerian Dalam Negeri untuk menjelaskan bagaimana perkara ini boleh berlaku,” katanya.
Keluarga Noorizwan telah membuat dua laporan polis berhubung kes ini dan sebelum ini menuntut agar satu siasatan yang bebas dan telus dijalankan terhadap kematian itu.
Keluarga tersebut juga dijangka mengadakan satu perhimpunan aman di luar ibu pejabat polis Bukit Aman pada jam 11 pagi, 17 Oktober ini, di mana mereka merancang untuk menyerahkan memorandum serta menuntut penjelasan daripada Ketua Polis Negara.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/rayer1_549498.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.