Penyokong kuat Nurul Izzah terima hakikat Puteri Reformasi sudah ‘habis’
Dua puluh enam tahun lalu, pada Nov 2000, Hassan Karim ditugaskan sebagai ‘pengawal peribadi’ (bodyguard) ketika PKR mendapat maklumat Nurul Izzah Anwar akan diserang semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Lunas, Kedah.
Gadis 21 tahun itu ketika baru tamat belajar. Dan Hassan, yang sudah lama bergelumang dalam politik sejak memimpin Parti Rakyat Malaysia, melihat potensi pada ‘Puteri Reformasi’.
Bagaimanapun, ketika Nurul Izzah mengumumkan mahu berundur daripada PKR dua bulan lalu, Hassan nyata kecewa, walaupun dilihat cuba menyembunyikan perasaan itu dengan berhati-hati memilih perkataan.
/file/attachments/orphans/PodcastExplainSikit1_241778.png)
"Saya rasa finished (habis),” katanya perlahan dan kemudian berhenti seketika.
“Bila pemimpin mising in action (hilang) tinggalkan battle (pertempuran), ahli, pengikut, penyokong hilang keyakinan. Usahkan orang lain, saya sendiri yang menyokong beliau rasa terkilan, rasa tak senang.”
Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Isnin lalu, Hassan ditanya jika dia rasa dikhianati dengan tindakan itu tetapi dia menidakkannya.
Bagaimanapun Hassan, yang menyokong kuat tindakan Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden PKR melawan penyandang Rafizi Ramli, kini seperti kesal dengan hasilnya.
"Nak sebut (saya) rasa dikhianati, terlalu (berat) sangat. Tapi rasanya baik Rafizi (Ramli) teruskan (sebagai timbalan presiden PKR) kalau begitu. Saya rasa saya tersilap (sokong Izzah)?
“Perkataan yang saya boleh cakap kecewalah. Tetapi perkara sudah berlaku. Tak boleh undur ke belakang," ujarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/05/12acd498e7e95b1ee227dd217f8b33c9.jpg)
Dalam hantaran Facebook pada 6 Ogos lalu, Nurul Izzah mengesahkan hasratnya untuk berundur daripada jawatan nombor dua parti atas alasan melanjutkan pelajaran.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil kemudiannya berkata kepimpinan pusat menerima permohonan peletakan jawatan Izzah pada hari yang sama, namun memberikannya cuti sementara.
Pertembungan Nurul Izzah dan Rafizi dalam pemilihan PKR Mei lalu mencetuskan keretakan dalaman yang mendorong penubuhan parti serpihan dan peletakan jawatan sekumpulan pemimpin kanan dan wakil rakyat PKR.
‘Pemimpin tak lari dari krisis’
Semenantara itu, dalam podcast Explain Sikit terbitan KiniTV yang dihoskan bersama oleh editor Malaysiakini Yiswaree Palansamy dan Jimadie Shah Othman, Hassan berkata pemimpin tidak harus lari dari krisis.
"...saya tak tahu apa yang berlaku di Kuala Lumpur, di ibu pejabat (parti). Saya jauh di Pasir Gudang dengan melihat Nurul Izzah ada peranan dan ada kebolehan dia.
“Tapi apabila berlaku sedikit krisis selepas pemilihan itu dan akhirnya Nurul Izzah meletakkan jawatan (cuti), saya rasa kecewa.
"Memang kecewa. Pemimpin lahir waktu krisis, bukan lari dari krisis. Jadi ujian itu (dia) gagal," katanya.
Daripada segi kualiti, Hassan, 75, menyifatkan Nurui Izzah sebagai bijak, berwibawa, selain masih muda dan cergas.
"...dia menang dalam pilihan raya satu demi satu. Dan saya melihat sendiri dia satu penggal di parlimen. Dia (sebagai) ahli parlimen dia bagus.
“Dia cakap, dia buat persediaan. Dia ada substance (isu) bila bercakap. Kalau sekarang ini kita tengok (macam) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman),” katanya.
/file/attachments/orphans/PodcastExplainSikit2_932635.png)
Sementara itu, dalam isu Rafizi pula, Hassan masih bersikap lunak walaupun bekas orang kanan Anwar itu kini sering menyerang pentadbiran perdana menteri.
Malah, tidak disangka, Hassan yang biasanya keras terhadap “pengkhianat”, masih melihat Rafizi sebagai “sahabat”.
Mengenang era kritikan Rafizi sebelum keluar kerajaan, Hassan – yang ironinya terkenal dengan kelantangannya mengkritik tidak kira siapa – mendedahkan dia sendiri menasihati Rafizi supaya tidak terlalu keras terhadap Anwar.
"(Saya pesan pada Rafizi) jangan keras sangat. Lie low dulu, dapatkan sokongan akar umbi PKR. Dan pemilihan parti yang akan datang kalau Anwar dah sampai (habis) penggal, dia Rafizi boleh bersama Nurul Izzah.
"Rafizi presiden, Nurul Izzah timbalan,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/05/3129d5a385536b9ef75f41ad811f3a40.jpg)
Dia mengakui Nurul Izzah, di sebalik segala potensi, belum bersedia menggalas jawatan nombor satu parti menggantikan ayahnya.
“ Sebab saya melihat Nurul Izzah timbalan OK-lah. Tapi (kalau) pada waktu itu dia nak jadi presiden saya rasa dia belum sampai tahap itu.
"Tapi Rafizi dah boleh. Kedua-duanya masih muda, Rafizi calon presiden dan Nurul Izzah timbalan tapi saya diberitahu Rafizi sudah sampai satu tahap dia no return (tak akan berpatah balik)," katanya yang juga seorang peguam.
Panglima tanpa pahlawan
Berdepan pilihan raya umum (PRU) ke-16 akan, datang Hassan melihat Anwar sebagai presiden PKR sendiri yang akan menjadi panglima perang dalam pertarungan terakhirnya selepas pengunduran Izzah dan keluarnya, Rafizi.
"Saya tengok di Johor dan Negeri Sembilan, panglimanya Anwar, kasihan dia. Pahlawan-pahlawan dia tak sampai level pengaruhnya seperti Rafizi. Ini satu hakikat.
“Kalau PRU akan datang, Anwar sendiri yang akan jadi pemimpin battle (pertempuran) yang terakhirlah," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan berasingan, ditanya pandangannya mengenai hala tuju PH berdepan pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Hassan berpendapat gabungan itu sebaiknya fokus terhadap kerjasama sesama mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/05/875f49d3ff6cf5303e021205e6293fc3.jpg)
Katanya, saf perpaduan antara PKR, Amanah perlu dirapatkan dan diutamakan berbanding dilihat mengabaikan prinsip semata-mata untuk menang kerusi dengan mudah.
"Dah jelas sangat bahawa DAP tak boleh lupa dengan tragedi ketika Bersatu dalam PH dulu, jadi maknanya PH saya rasa kalau di Johor kita boleh bertanding Johor, dan Negeri Sembilan, terima sajalah.
"Orang (parti) pun tak nak sangat dengan PH ini, Umno ke, di peringkat negeri. Jadi boleh baca bahasa badan parti-parti yang lain. Kalau orang tak hormat PH sebagai satu kekuatan yang penting.
"Ini lebih baik daripada PKR dan DAP bersalah faham, DAP dengan Amanah bersalah-salah faham, dah la kita tak kuat. Kalau tidak, rakyat nampak sangat kita ini tak ada prinsip, hanya nak menang pilihan raya begitu mudah," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/PodcastExplainSikitd2e_987842.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.