Polis akhirnya memecah kebisuan berhubung kematian tahanan Noorizwan Zulkefly, 14 hari selepas dia meninggal dunia dalam tahanan dan hanya selepas rentetan kecederaan ngeri, termasuk pendarahan pada otak dan usus, didedahkan kepada umum.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia serta keputusan rasmi patologi sebelum melengkapkan siasatan mereka.

Sementara menunggu laporan berkenaan, punca kematian bapa berusia 42 tahun kepada seorang anak itu masih belum ditentukan, katanya.

Fadil Marsus, Ketua Polis Kuala Lumpur

Walau bagaimanapun, peguam keluarga berkata kesimpulan pakar patologi forensik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) adalah bahawa Noorizwan meninggal dunia akibat trauma daya tumpul pada bahagian kepala.

Fadil berkata siasatan sedang dijalankan secara "bebas dan terperinci" oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman, dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips).

“Siasatan dijalankan dari pelbagai sudut dengan mengambil kira semua bukti yang diperlukan. Kita minta semua pihak bersabar dan memberikan ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini,

Fadil turut menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi berhubung kes itu kerana penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Berhubung kronologi kejadian, dia berkata Noorizwan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan tiga laporan polis berasingan melibat kesalahan berkaitan dadah dan jenayah lain.

“Semakan rekod mendapati si mati mempunyai 44 rekod jenayah lampau, iaitu 18 berkaitan dadah dan 26 kesalahan jenayah selain terdapat pengakuan yang menghubungkannya dengan 17 kes pecah rumah serta curi di sekitar Cheras,” katanya.

Fadil berkata penahanan Noorizwan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Noorizwan Zulkefly

Namun, Noorizwan dilaporkan jatuh sakit semasa dalam tahanan dan dibawa ke HCTM untuk rawatan lanjut.

“Suspek disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi 1 Okt semasa menerima rawatan di hospital,” katanya.

Semalam, peguam keluarga, Rania Aljunied dan Wan Nabilah Dina Wan Zamri, berkata pakar patologi HCTM merakamkan 21 kecederaan semasa pemeriksaan bedah siasat.

Mereka berkata bahagian-bahagian yang mengalami bengkak teruk menunjukkan pendarahan di bawah kulit apabila kulit disingkap semasa prosedur bedah siasat.

“Hal ini menunjukkan bahawa mangsa telah mengalami pukulan yang teruk,” kata mereka.