Seorang ahli politik dari Mindanao di selatan Filipina didakwa membiayai penerbangan jet peribadi sewa khas yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan kemudiannya dikaitkan dengan rampasan 521 kilogram syabu di Laos.

Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) mengesahkan telah mengenal pasti individu yang didakwa menjadi pembiayai di sebalik operasi berkenaan, namun enggan mendedahkan namanya kerana pihak masih melengkapkan siasatan kes.

"Kami telah mengenal pasti pembiayai di sebalik operasi dadah ini. Ahli politik ini dari selatan, iaitu di Mindanao," kata jurucakap PDEA, Joseph Frederick Calulut kepada pemberita, menurut laporan media Filipina.


Calulut enggan mendedahkan identiti atau jawatan ahli politik tersebut, tetapi menyatakan individu berkenaan berselisih faham dengan pentadbiran sedia ada.

Pendedahan ini menambah dimensi politik kepada kes yang menarik perhatian di Malaysia, Laos dan Filipina, susulan rampasan syabu dari bagasi penerbangan sewa khas yang secara rasminya didaftarkan untuk membawa barangan vape.

Kes bermula pada 1 Okt apabila sebuah Learjet 55B berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang kira-kira jam 11.30 pagi, membawa seorang penumpang warga Filipina, seorang juruterbang warga Singapura dan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia.

Pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang di Laos kira-kira dua jam kemudian tanpa sebarang kargo.

Berdasarkan penjelasan CGT Asia Limited, syarikat yang diasasakan di Singapura yang mengendalikan penerbangan tersebut, penumpang terbabit sepatutnya mengambil bagasi yang mengandungi produk vape untuk dihantar ke Manila.

Walau bagaimanapun, anak kapal tidak dimaklumkan bahawa mereka perlu membawa 23 beg pakaian.


Ketua Pegawai Eksekutif CGT Asia, Darren Chan Chee Seng berkata cadangan membawa bagasi berkenaan menimbulkan kebimbangan operasi dan keselamatan, termasuk kapasiti ruang bagasi pesawat, agihan berat dan kemungkinan membawa barangan berbahaya.

"Bagasi berkenaan tidak diterima untuk diangkut dan tidak dimuatkan ke dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang," kata Chan.

Namun begitu, bagasi tersebut telah menarik perhatian pihak berkuasa Laos.

Memetik akhbar milik kerajaan Lao Security Newspaper, Vientiane Times melaporkan pada 6 Okt bahawa polis tempatan menerima maklumat risikan mengenai syak wasangka operasi penyeludupan itu dan telah menugaskan pegawai khas untuk memantau lapangan terbang.

Polis dilaporkan memerhatikan kakitangan lapangan terbang yang memindahkan 23 beg pakaian dari dua kenderaan yang diletakkan di terminal dan memeriksanya menerusi mesin imbasan X-ray.

Laporan pihak Laos menyatakan bagasi berkenaan dimuatkan ke dalam pesawat, sekali gus bercanggah dengan penjelasan Chan yang mendakwa anak kapal enggan membawanya.

Pihak berkuasa kemudiannya mendapati 21 daripada 23 beg pakaian itu mengandungi 500 bungkusan syabu.


Penerbangan sewa khas itu ditempah pada 23 Sept oleh seorang individu yang dipercayai polis Malaysia berasal dari Filipina.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata penerbangan berkenaan merupakan tugasan kelapan yang dikendalikan oleh penerbangan peribadi itu sejak mula beroperasi pada Julai. Ia pernah mengendalikan tugasan melibatkan orang kenamaan (VIP), kargo dan pasukan perubatan di pelbagai rantau.

Manifesto penerbangan mencatatkan kargo yang bakal dibawa sebagai produk vape.

"Berdasarkan siasatan awal, kami percaya perkhidmatan syarikat ini digunakan untuk menyeludup dadah dari Laos ke Filipina," kata Hussein pada 9 Okt.

Dia turut mengesahkan polis sedang menyiasat sama ada Malaysia cuba dijadikan transit atau memainkan sebarang peranan dalam operasi terbabit.

"Setakat ini, apa yang boleh saya sahkan ialah dadah tersebut tidak diangkut dari Malaysia ke Laos," katanya.

Hussein Omar Khan


Hussein merujuk kepada kedudukan Laos yang berhampiran Segi Tiga Emas—kawasan pengeluaran dadah terkenal yang merentasi kawasan di Laos, Myanmar dan Thailand—sambil menjelaskan pergerakan dadah itu lebih konsisten dengan aktiviti membawa keluar narkotik dari rantau berkenaan.

Pihak berkuasa Laos menahan 13 individu susulan rampasan tersebut, termasuk tiga individu di dalam jet, tiga pekerja perkhidmatan darat dan tujuh kakitangan lapangan terbang yang mengendalikan mesin imbasan X-ray.

Di Malaysia, empat individu ditahan di Lapangan Terbang Subang pada 7 Okt ketika penyiasat meluaskan siasatan. Hussein kemudiannya mengesahkan kesemua empat individu terbabit telah dibebaskan.