Seramai tiga individu termasuk seorang aktivis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes empat patung dipecahkan di sebuah kuil di Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur, dalam insiden pada 6 Okt.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata ketiga-tiga individu itu ditahan di Beranang, Selangor pada Ahad, namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tiga hari tamat pada Selasa lepas.

“Siasatan awal menemukan sebanyak empat patung keagamaan di kuil berkenaan dipecahkan. Anggaran nilai kerugian masih belum dapat dipastikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu juga diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia R Ramanan menggesa polis menjalankan siasatan susulan tular satu video, memaparkan beberapa patung dipecahkan di sebuah kuil.

- Bernama