Pemandu mabuk: Ramkarpal minta penjelasan mekanisme pampasan pada mangsa
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) meminta kerajaan menjelaskan kaedah penentuan pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kesalahan trafik serius, termasuk memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Ramkarpal berkata dia menyambut baik cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa, namun berkata mekanisme pelaksanaannya perlu diperincikan.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Ramkarpal mempersoalkan sama ada kerajaan akan menetapkan formula standard atau menentukan jumlah pampasan berdasarkan keadaan setiap kes.
"Adakah kadar pampasan akan mengambil kira tahap kecederaan, kos rawatan dan juga pemulihan, kehilangan pendapatan, keperluan penjagaan jangka panjang serta kesan terhadap tanggungan mangsa?
"Bagaimanakah pula pampasan akan ditentukan bagi kes kematian berbanding kecederaan yang menyebabkan kecacatan kekal ataupun kehilangan anggota badan?” soalnya.
Bekas timbalan menteri undang-undang itu turut menggesa kerajaan menyediakan garis panduan yang seragam bagi memastikan pampasan ditentukan secara adil, telus dan konsisten.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pindaan itu akan membolehkan mahkamah mengarahkan pesalah yang disabitkan atas kesalahan trafik serius membayar pampasan kepada mangsa atau waris sah mereka.
/file/attachments/886/99566fa213522b5ec8390d9d7bc010b4_713216.jpg)
Pampasan itu akan dikenakan selain hukuman penjara, denda dan hukuman lain yang diperuntukkan undang-undang. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan penyitaan aset pesalah bagi membayar pampasan berkenaan.
Bagaimanapun, ketika menjawab soalan Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) di Dewan Rakyat hari ini, Loke berkata kerajaan belum memutuskan kaedah pelaksanaan mekanisme itu.
Kementerian Pengangkutan sedang berbincang dengan agensi kerajaan lain untuk memuktamadkan butirannya sebelum pindaan berkenaan dibentangkan di Parlimen pada awal 2027.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lalu turut mengesahkan bahawa mekanisme pampasan bagi mangsa kemalangan yang berpunca daripada pemandu di bawah pengaruh bahan terlarang akan dimasukkan dalam pindaan akta itu.
Pampasan dan tuntutan sivil
Pada Jun lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan berasingan kepada Akta Pengangkutan Jalan bagi memperketat penguatkuasaan dan meningkatkan hukuman bagi kesalahan trafik serius.
Namun, mekanisme pampasan tidak dimasukkan dalam pindaan ketika itu, menyebabkan beberapa ahli parlimen mempersoalkan komitmen kerajaan menangani isu pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/06/73cd1c3b0a71ee8be2c78461f6e2f278.jpg)
Ramkarpal turut meminta penjelasan tentang bagaimana mekanisme baru itu akan diselaraskan dengan hak mangsa untuk menuntut ganti rugi melalui mahkamah sivil.
Katanya, mangsa kemalangan atau wakil sah mereka boleh menuntut ganti rugi daripada pihak yang bertanggungjawab, termasuk bagi kos perubatan, kehilangan pendapatan dan keperluan penjagaan.
Sehubungan itu, Ramkarpal mahu tahu sama ada pampasan yang diterima melalui mekanisme baru akan diambil kira oleh mahkamah sivil ketika menentukan jumlah ganti rugi.
"Bagaimanakah kerajaan akan memastikan mangsa tidak menerima pampasan berganda ataupun dengan izin, double compensation bagi kerugian yang sama tanpa menjejaskan hak mereka untuk menuntut ganti rugi yang sewajarnya?
"Pada masa yang sama, kita perlu memastikan bahawa mekanisme baharu ini tidak secara tidak sengaja mengehadkan hak mangsa untuk mendapatkan keadilan melalui mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Loke berkata sistem sedia ada memerlukan pemandu yang melakukan kesalahan ketika berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol berdepan prosiding jenayah, manakala mangsa perlu memfailkan saman sivil secara berasingan untuk mendapatkan pampasan.
Menurutnya, proses itu menyukarkan sesetengah mangsa yang tidak mampu menanggung kos tindakan sivil dan terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk menerima pampasan.
Justeru katanya, kedua-duanya digabungkan supaya apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim juga boleh memerintahkan pembayaran pampasan kepada mangsa.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/a8195b7191d47d94809f838856f4bfc6.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.