Jerebu: Kita dah buat sedaya mungkin, kata Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan kerajaan dalam menangani isu jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk, sambil menegaskan bahawa Malaysia telah berusaha sehabis baik untuk berurusan dengan Indonesia mengenai masalah berkenaan.
“Kita dah buat sedaya mungkin,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab dakwaan bahawa Putrajaya tidak cukup proaktif dalam menangani jerebu, yang menyebabkan tahap pencemaran udara meningkat ke paras tidak sihat di beberapa kawasan di seluruh negara.
/file/attachments/orphans/mustaphashobri2_165137.png)
Semalam, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin mengkritik Malaysia kerana dianggap “terlalu lembut” dalam berurusan dengan Indonesia, serta menggesa pendirian yang lebih tegas diambil.
Bagaimanapun, dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap, Khairy turut mengakui keperluan untuk menggunakan pendekatan diplomasi bagi menyelesaikan isu itu.
Sebelum ini, Anwar juga secara peribadi telah menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto berhubung situasi jerebu yang semakin memburuk, sambil menambah bahawa pemimpin Indonesia itu bersetuju untuk mengambil langkah berperingkat yang diperlukan.
Isu jerebu yang berulang kerap menguji hubungan antara negara jiran di Asia Tenggara, dengan desakan untuk langkah pencegahan yang lebih kukuh serta akuntabiliti terus dibangkitkan setiap kali asap akibat kebakaran di Indonesia bertiup ke rantau ini.
Pada Selasa lalu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Syed Ibrahim Syed Noh memberitahu Kamar Khas Dewan Rakyat bahawa kerajaan menilai kebolehlaksanaan penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan.
Dia berkata demikian bagi menjawab soalan Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang mahu undang-undang berkenaan diperkenalkan.
Syed Ibrahim berkata kementerian mengkaji beberapa aspek cadangan itu, termasuk keperluan bukti, bidang kuasa penguatkuasaan dan implikasi diplomasi berpotensi terhadap hubungan Malaysia dengan negara jiran.
Hambatan utama, katanya, adalah untuk mendapatkan bukti yang mencukupi bagi mengenal pasti punca pencemaran serta pihak yang bertanggungjawab.
/file/attachments/orphans/jerebu1dfdf_423454.png)
Yii juga bertanya sama ada Malaysia bersedia menggunakan pengaruh perdagangannya terhadap syarikat yang beroperasi di luar bidang kuasanya.
Syed Ibrahim berkata kementerian belum menerima pengesahan rasmi daripada Kementerian Luar dan Kementerian Perladangan dan Komoditi berhubung syarikat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan kebakaran di Indonesia.
Dia memberitahu kebanyakan kebakaran di Kalimantan berpunca daripada amalan pembakaran tradisional oleh petani, yang menurutnya menjadi punca jauh lebih besar berbanding dakwaan yang melibatkan syarikat.
Bagaimanapun, jika dakwaan terhadap syarikat Malaysia terbukti benar, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memanggil mereka dan memberikan amaran keras, tambahnya.
Malaysia sebelum ini pernah mencadangkan perundangan bagi menangani jerebu rentas sempadan pada 2019 di bawah pentadbiran PH. Cadangan undang-undang itu membolehkan syarikat Malaysia didakwa atas aktiviti yang menyebabkan jerebu di negara lain.
Bagaimanapun, pentadbiran Perikatan Nasional membatalkan cadangan berkenaan selepas mengambil alih kerajaan pada 2020, dengan merujuk kepada pengalaman Singapura dan maklum balas undang-undang, termasuk daripada Jabatan Peguam Negara.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/haze13_999868.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.