Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membidas pemimpin Bersatu yang digantung, Ronald Kiandee berhubung dakwaannya bahawa bekas pimpinan PKR dalam Bersatu menjadi dalang rundingan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan negeri.

Merujuk kepada situasi politik di Pahang, Amirudin berkata langkah wakil rakyat Bersatu membuat meterai perjanjian dengan kerajaan negeri pimpinan parti lain bukanlah perkara baharu.

“Ini bukan baru. Di Pahang dah ada tandatangani dengan kerajaan, dua wakil Bersatu yang menyokong kerajaan BN bukan baru, ini dah berlaku sebelum ini.

"Apa yang dikatakan Kiandee hanya 'cerita'. Di Pahang, dua wakil rakyat itu tiada hubungan dengan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

"Ini dinamik baharu la," kata Amirudin kepada Malaysiakini selepas satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian bagi mengulas soalan berkenaan cadangan CSA yang bakal memberi sokongan majoriti lebih dua pertiga kepada Amirudin di Dewan Undangan Negeri Selangor yang mempunyai 56 kerusi.

CSA ialah bentuk kerjasama yang menyaksikan parti di luar kerajaan bersetuju untuk menyokong atau berkecuali dalam usul kepercayaan serta membantu meluluskan belanjawan atau rang undang-undang perbekalan, lazimnya sebagai pertukaran kepada konsesi dasar atau komitmen lain.

Kiandee, yang dilihat sehaluan dengan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin yang kini mengetuai Parti Wawasan Malaysia baru-baru ini mendakwa Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, Ketua Pemuda (Armada) Hilman Idham dan anggota majlis pimpinan tertinggi Dr Afif Bahardin mungkin memainkan peranan dalam cadangan kerjasama ini.

Azmin, Hilman dan Afif sebelum ini berada dalam PKR dan diketahui rapat dengan Amirudin ketika bersama dalam parti itu.

Perjanjian hampir selesai

Dalam pada itu, Amirudin enggan mengulas lanjut perincian cadangan perjanjian berkenaan, namun membayangkan rundingan kini menunjukkan perkembangan positif.

Dia berkata syarat-syarat perjanjian masih dimuktamadkan dan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi.

“Tunggu, tunggu, tunggu pengumuman. Saya sedang bincang.

“Tengah tunggu masa dan kelulusan daripada kepimpinan atasan untuk laksanakan sepenuhnya, (Ia) sedang dimuktamadkan.

“Saya percaya tidak mengambil masa lama, hanya sedikit masa lagi," kata Amirudin, yang enggan mendedahkan tawaran pentadbirannya kepada Bersatu sebagai balasan sokongan berkenaan.

Ketika ditanya sama ada dia yakin kesemua 11 anggota Dewan Undangan Negeri daripada Bersatu di Selangor akan menyokong perjanjian tersebut di tengah-tengah kemelut dalaman parti itu, Amirudin menyerahkan perkara berkenaan kepada kepimpinan Bersatu.

Semalam, Malaysiakini memetik kenyataan Afif bahawa Selangor Bersatu dan kerajaan negeri semakin menghampiri kata sepakat.