Arab Saudi pintas peluru berpandu kruz dekat Madinah
Pakatan pimpinan Arab Saudi di Yaman pada Khamis memaklumkan bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu kruz di ruang udara wilayah Madinah, di barat Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap pakatan Mejar Jeneral Turki al-Maliki mengumumkan pemintasan itu menerusi satu kenyataan ringkas di platform media sosial X.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut pihak yang melancarkan peluru berpandu berkenaan atau sasaran yang ditujunya, selain tidak memberikan butiran mengenai kemungkinan kemalangan jiwa atau kerosakan. Insiden itu berlaku ketika serangan peluru berpandu dan dron oleh kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi semakin meningkat, termasuk serangan yang menyasarkan lapangan terbang dan kemudahan tenaga.
Pakatan itu menuduh kumpulan Houthi melancarkan serangan dron terhadap stesen pengagihan elektrik Taibah di Madinah pada 29 Sept.
Serangan itu menyebabkan sebuah transformer tidak dapat beroperasi, namun tidak menjejaskan grid elektrik, menurut al-Maliki. Kemudahan itu membekalkan tenaga elektrik kepada Masjid Nabawi, antara tempat paling suci dalam Islam.
Insiden pada Khamis itu berlaku beberapa jam selepas pakatan berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan sebuah dron di ruang udara wilayah Timur Arab Saudi.
Sehari sebelumnya, pakatan itu mengumumkan bahawa pihaknya memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi dari Yaman ke arah ibu negara Arab Saudi, Riyadh.
Arab Saudi mengetuai pakatan ketenteraan yang menyokong kerajaan Yaman menentang kumpulan Houthi sejak 2015. Kumpulan itu menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah lain sejak 2014.
Lapor komen ini
/file/1175/233f93b84ba6b327158c003f6b89182f.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.