Saya tidak antiraja - Hassan
Di sebalik dikenali kerana lembut tutur katanya, ahli politik veteran PKR, Hassan Abdul Karim, juga terkenal dengan keberanian, ketegasan dan kelantangan tidak kita kepada siapa.
Malah, anggota parlimen Pasir Gudang itu berani menyentuh isu yang dianggap sensitif, termasuk yang melibatkan istana dan raja-raja Melayu.
Bagaimanapun, bagi Hassan sendiri, dia bukan seorang yang antiraja, malah menyanjung tinggi serta sayang pada institusi itu.
"Saya tidak antiraja,” ketika ditanya Malaysiakini berkaitan kelantangannya itu, "saya memahami konsep constitutional monarchy (raja berperlembagaan). Tetapi kalau sistem mahu cenderung kepada absolute monarchy (monarki mutlak), itu saya tidak setuju.”
Hassan berkata demikian ketika membahaskan isu pengampunan diraja ke atas bekas perdana menteri Najib Razak yang sudah disabitkan bersalah atas pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
Sultan Ibrahim pada bulan lalu memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan dia - yang juga bekas presiden Umno - menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Bagaimanapun kelonggaran itu tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta.
Terdahulu, Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sudah mengurangkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Najib oleh mahkamah, daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda asal RM210 juta menjadi RM50 juta.
Bagaimanapun, terkait titah tambahan (adendum) Al-Sultan Abdullah mengenai tahanan rumah untuk Najib, ia kemudian menjadi pertikaian perundangan kerana status keabsahannya.
Pada Disember 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan adendum tersebut tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan apabila mendapati isu peraturan tahanan di rumah tidak dibincangkan dalam mesyuarat lembaga berkenaan.
Najib kemudiannya menarik balik rayuan terhadap keputusan tersebut pada April lalu.
Pengampunan dan dilema kerajaan
Sementara itu, dalam siri audio siar Explain sikit, Kini! terbitan KiniTV, Hassan mengulangi nada tidak senangnya dengan pengampunan diraja yang diberikan terhadap Najib.
Bagaimanapun, katanya, parti pula sukar menjelaskan isu tersebut kerana melibatkan konsep institusi diraja yang perlu dihormati.
"Dalam kes-kes terdahulu, sikap mahkamah menentukan bahawa pengampunan itu adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Bagi kerajaan pula, mereka tidak mahu dilihat sebagai melawan institusi tersebut. Ini satu dilema yang dihadapi," katanya.
Bagaimanapun, kata ahli politik yang sudah mengumumkan tidak lagi bertanding dalam PRU akan datang, dia tidak berdepan dengan sebarang dilema bagi memperkatakan isu itu.
"Saya melihat apa pendirian kerajaan, dilema yang kerajaan hadapi, tapi saya tak ada dilema. Saya bukan dalam kerajaan.
“Saya telah menjalankan tugas saya sebagai seorang anggota PKR dan ahli parlimen PH.
"Saya bercakap dalam Dewan Rakyat ketika saya membahaskan titah diraja tentang perlu menentang rasuah, dan saya sokong," kata pemimpin kiri Johor yang pernah memimpin Parti Rakyat Malaysia (PRM) itu lagi.
/file/attachments/orphans/PodcastExplainSikitd_306736.png)
Hassan turut mengingatkan bahawa dia sudah membangkitkan dalam parlimen berkaitan persepsi awam sekiranya elit politik mendapat 'diskaun' bagi kesalahan rasuah.
“Itu boleh check (semak) hansard. Dan saya sebut ‘ampun tuanku’....
"Saya telah menjalankan tugas saya. Tak ada kena (siasat) Akta Hasutan pun. Saya tidak antiraja. Saya memahami konsep raja berperlembagaan.
“Tetapi kalau sistem mahu cenderung kepada feudal, absolute monarchy, itu saya tidak setuju,” katanya.
Ditanya bagaimana dia membandingkan ketegasan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dan Dr Mahathir Mohamad dalam isu itu, Hassan tidak meyentuhnya secara khusus.
Cuma menurut Hassan, Mahathir adalah “perdana menteri paling berani” dengan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan membentuk mahkamah khas untuk raja-raja Melayu dan mengadili kes-kes melibatkan istana.
Tanda kerajaan mendengar
Dalam audio siar sama, Hassan turut ditanya berkaitan pelaksanaan janji-janji reformasi yang dilaungkan PH selama ini bagi menghadapi PRU ke-16.
Tidak disangka, dia hanya memberikan markah 51 peratus kepada kerajaan.
"Empat puluh sembilan peratus lagi belum berjaya. (Cuma) lulus bersyarat untuk layak masuk PRU akan datang,” kata lelaki 75 tahun yang telah empat dekad bergelumang dalam politik itu.
Dia turut membangkitkan beberapa pembaharuan yang harus dilakukan kerajaan. Antaranya kes kematian dalam tahanan, tahanan tanpa bicara bagi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 serta penggunaan Akta Hasutan 1948 yang berterusan.
"Saya pun tak puas hati," katanya mengulas kes dibangkitkan hos.
/file/attachments/orphans/AI155_754689.png)
Sementara itu, bagi mendepani PRU akan datang, Hassan berkata belanjawan kali ini akan menjadi kayu ukur untuk kepimpinan Anwar.
Katanya, kalau rakyat menolak belanjawan yang baru dibentangkan minggu lalu, bukan saja Anwar akan tumbang, malah kerajaan.
“PKR pun akan menghadapi masalah eksistensial dan relevansi,” katanya.
Dia pada masa sama memuji banyak bantuan yang diberi kerajaan kepada golongan B40 seperti Jualan Rahmah, pelepasan cukai untuk M40 dan penyerapan 9,000 doktor kontrak ke jawatan awam.
“Ini menunjukkan kerajaan mendengar,” katanya.
Berkaitan kerjasama dengan Umno pula, Hassan berkata masa depan PH bersama Umno "sudah terang lagi bersuluh" walaupun kini masih berganding dalam kerajaan pusat.
Apabila parlimen dibubarkan, katanya, Umno membawa arah mereka sendiri.
"Sama ada dia akan bergabung dengan PAS atau Muafakat Nasional, ini akan membebaskan Pakatan Harapan daripada beban (kerjasama) itu,” katanya.
Audio siar Explain sikit, Kini! dihoskan secara bersama oleh editor Malaysiakini Yiswaree Palasamy dan Jimadie Shah Othman.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/PodcastExplainSikit1_241778.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.