Keluarga wanita yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah rumah di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi masih terkejut dan tidak percaya dengan pemergian mangsa dalam keadaan tragis.

Abang sulung mangsa yang dikenali sebagai Amran berkata menerima panggilan telefon daripada adik lelaki pada 7.30 malam memberitahu adik bongsu mereka dibunuh sebelum dimaklumkan suspek menyerah diri di balai polis berdekatan.

“Ketika itu, saya di rumah di Pinggiran Batu Caves, Selangor, adik nombor lapan beritahu adik ipar kami (suspek) menghubunginya dan memaklumkan sudah membunuh isteri dia. Perasaan ketika itu seperti tidak percaya, bercampur baur dan terkejut.

“Saya terus menghubungi balai polis untuk mendapatkan pengesahan kerana kami dimaklumkan suspek telah menyerah diri. Selepas itu kami datang ke sini dengan saudara-mara untuk mengetahui keadaan sebenar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Amran berkata mangsa yang mesra disapa Wani atau Mok Su dalam kalangan ahli keluarga seorang yang sangat disenangi dan ceria.

Lelaki itu memberitahu kali terakhir mereka berjumpa ialah pada tujuh bulan lepas namun masing-masing sering bertanya khabar menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.

“Semalam (Rabu), adik nombor lapan ada datang dan tidur di rumah Wani kerana ada urusan. Dia juga sempat berpesan supaya menjaga rumah tangga dengan elok (dan) semuanya nampak biasa. Tak sangka kejadian ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata arwah meninggalkan dua anak berusia enam dan lima tahun.

Amran berkata dia difahamkan suspek dibebaskan dari penjara beberapa hari lepas selepas menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah dan pasangan itu dalam proses bercerai.

Jenazah akan dibawa pulang ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat yang difahamkan akan dilakukan pada Sabtu di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi berkata mangsa yang sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai kastam telah bertukar ke skim Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Johari Yahya berkata suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama