Representasi ditolak, bicara kes Arun Dorasamy bermula Feb 2027
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan aktivis Arun Dorasamy atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy berhubung pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan kegentaran awam menerusi media sosial, tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin memaklumkan perkara itu kepada Majistret Balqis Roslin pada prosiding di Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal hari ini.
Susulan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 1 Feb 2027 dengan pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil tujuh saksi untuk memberikan keterangan.
Arumugam diwakili peguam T. Gunaseelan.
Pada 17 Mac, Arumugam, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat hantaran di akaun Instagram miliknya yang dilihat dan didengar seorang individu yang boleh mendorong mana-mana orang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan dalam daerah Seberang Perai Selatan pada 3.45 petang 12 Mac 2025.
Hantaran itu didakwa mengajak Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth berhubung isu video kontroversi membabitkan tiga penyampai radio tempatan yang didakwa mempersendakan satu perayaan agama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/05/1062d7797dcf7991000075ef6a1421a6.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.