Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa ibu pejabat Jabatan Imigresen mengambil alih siasatan pentadbiran terhadap dakwaan penyelewengan dalam pengeluaran Pas Khas di pejabat jabatan itu di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Wakil rakyat DAP itu menyifatkan siasatan dalaman semata-mata tidak memadai manakala dakwaan rasuah dan kesalahan jenayah perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis.

Lim mengulas pendedahan terbaru Malaysiakini mengenai sindiket yang didakwa mengeksploitasi kemudahan Pas Khas di pejabat berkenaan.

Dia berkata dakwaan itu memerlukan siasatan yang melangkaui pejabat imigresen peringkat negeri.

"Siasatan dalaman sahaja tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia mesti mengambil alih siasatan pentadbiran, manakala dakwaan rasuah dan jenayah perlu dirujuk kepada SPRM dan polis.

"Jangan tunggu pendedahan media baru hendak memberi penjelasan. Rakyat mahu tahu tindakan yang telah diambil sejak 10 Ogos, bukan sekadar mendengar satu lagi pengumuman siasatan," kata ahli parlimen DAP itu pada satu kenyataan.


BACA BERKAITAN:

'Pakai baju putih, kumpul di restoran': Membongkar sindiket disyaki seleweng pas khas di imigresen


Lim mengulas kenyataan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur semalam bahawa Bahagian Integritinya akan menyiasat dakwaan penyelewengan dalam pengeluaran Pas Khas.

Pengumuman terbaru jabatan itu dibuat meskipun sebelum ini pihaknya sudah menyatakan siasatan sedang dijalankan.

Malaysiakini menghubungi Pejabat Imigresen Kuala Lumpur pada 10 Ogos, termasuk hadir sendiri ke pejabat itu, dan menyerahkan bukti video serta gambar yang dikumpulkan sepanjang siasatannya kepada seorang pegawai.

Selepas diberi masa lebih sebulan untuk memberikan maklum balas, jabatan itu hanya menjawab pihaknya "masih menyiasat".

Lim turut mempersoalkan sama ada laporan polis atau aduan kepada SPRM sudah dibuat, serta menggesa jabatan itu lebih telus mengenai siasatan berkenaan.

"Sudah lebih dua bulan! Siasatan sebenarnya sudah bermula atau baru hendak bermula?

"Adakah laporan polis atau SPRM telah dibuat?

"Adakah Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri telah dimaklumkan?Mengapa semua ini masih tidak dijelaskan," soalnya lagi.