'Pakai baju putih, kumpul di restoran': Membongkar sindiket disyaki seleweng pas khas di imigresen
Memakai baju berwana putih, kumpulan warga asing berkumpul di sebuah restoran dalam Kompleks Wilayah Persekutuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekitar jam 11 pagi. Beberapa “runner” atau orang tengah tempatan yang arif akan setiap sudut bangunan itu mengetuai mereka. Gerak-geri mereka memberi gambaran satu rutin yang sudah diulang sekian lama.
Inilah modus operandi yang diperhatikan Malaysiakini dalam satu sindiket yang disyaki mengeksploitasi kemudahan pas khas di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Kemudahan yang sepatutnya membantu warga asing yang berdepan hal kecemasan dan mendesak itu dipercayai disalahgunakan secara sistematik untuk melanjutkan tempoh keberadaan mereka di Malaysia.
Dalam operasi pemantauan selama seminggu di lokasi berkenaan pada awal Ogos, Malaysiakini menemui petunjuk bahawa sebuah sindiket tempatan, yang disyaki bersekongkol dengan pegawai imigresen, membantu warga China kekal di negara ini melebihi tempoh yang lazimnya dibenarkan di bawah visa pelancong.
Siasatan memberi gambaran bahawa dakwaan penyelewengan itu melangkaui rasuah kecil-kecilan di kaunter. Menurut sekurang-kurangnya dua orang dalam JIM, sindiket itu juga kemungkinan melibatkan kelulusan seorang pegawai kanan, selain dikaitkan dengan keperluan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Lembah Klang untuk mengekalkan ejen mereka di Malaysia.
Aktiviti itu seakan-akan terhenti seketika selepas operasi pemantauan Malaysiakini, tetapi kembali beroperasi pada 2 Okt, tarikh terakhir operasi itu diperhatikan.
/file/attachments/orphans/13_256822.png)
Pada hari bekerja, antara tiga hingga lima ejen tempatan dilihat mengumpulkan kumpulan kecil warga China, biasanya kurang daripada 10 orang pada satu-satu masa, di restoran dalam kompleks KDN itu sekitar jam 11 pagi.
Restoran itu kelihatan hanya berfungsi sebagai tempat pertemuan. Malaysiakini tidak menemui sebarang petunjuk bahawa premis tersebut atau pengusahanya terlibat dalam skim yang didakwa itu. Namun, kedudukannya yang dekat dengan pejabat imigresen memudahkan ejen dan pelanggan mereka berulang-alik antara kedua-dua lokasi tanpa menarik perhatian.
Warga asing berkenaan memakai baju putih biasa tanpa sebarang corak. Penampilan seragam itu seolah-olah menjadi isyarat visual yang membolehkan pegawai imigresen yang didakwa terlibat mengenal pasti kumpulan tersebut tanpa perlu berkomunikasi secara terang-terangan.
Ketika kumpulan itu menunggu sambil makan di restoran, ejen tempatan dilihat sibuk menguruskan borang permohonan, mengumpul pasport asal pemohon dan mengambil gambar wajah menggunakan telefon bimbit peribadi mereka.
Berdasarkan maklumat daripada sumber dan yang diketahui Malaysiakini semasa siasatan, gambar-gambar itu dihantar terus kepada pegawai imigresen di dalam bangunan melalui aplikasi pesanan untuk pengesahan awal, satu proses yang sepatutnya dilakukan secara rasmi di kaunter dan bukan melalui peranti peribadi.
Borang permohonan itu seterusnya dipercayai diserahkan kepada seorang pegawai kanan untuk minit kelulusan rasmi. Ini satu langkah penting: tanpa minit sokongan, pegawai kaunter tidak mempunyai kuasa atau budi bicara untuk meluluskan permohonan, sekalipun dokumen kelihatan lengkap.
/file/attachments/orphans/12_356469.png)
Sekitar tengah hari, seorang pegawai imigresen turun ke restoran itu untuk mengedarkan nombor giliran khas kepada kumpulan tersebut. Ini membolehkan warga asing itu memintas barisan biasa dan mengelak saringan kaunter yang lazimnya memakan masa berjam-jam.
Menjelang kira-kira jam 2 petang, ejen mengiringi kumpulan itu ke kaunter Bahagian Visa, Pas dan Permit untuk melengkapkan dokumentasi. Proses yang sepatutnya melibatkan penelitian dokumen dan pengesahan identiti yang teliti hanya mengambil masa lima hingga 10 minit bagi setiap orang.
Dalam beberapa keadaan, Malaysiakini memerhatikan bahawa warga asing itu tidak hadir sendiri di kaunter untuk mengemukakan permohonan mereka. Sebaliknya, ejen tempatan didakwa menyamar sebagai pemohon dan duduk di hadapan pegawai imigresen untuk memproses permohonan tanpa kehadiran pemegang pasport.
Sekiranya benar, perkara ini melanggar prosedur operasi standard (SOP) JIM yang menghendaki pemohon hadir sendiri.
Malaysiakini turut memperoleh rakaman video dan gambar yang menyokong penemuan berkenaan.
Rantaian kelulusan didakwa sampai kepada pegawai kanan Imigresen KL
Siasatan juga mencadangkan bahawa skim yang didakwa itu tidak terhad kepada pegawai di peringkat kaunter, tetapi merentasi rantaian kelulusan dan melibatkan seorang pegawai kanan di Imigresen Kuala Lumpur.
Semasa pemantauan Malaysiakini, pegawai itu dikenal pasti melalui peranannya mengeluarkan minit kelulusan pada borang permohonan pas khas sebelum dokumen diserahkan kepada pegawai kaunter untuk diproses dan dicetak.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, permohonan tersebut tidak mungkin diteruskan tanpa tandatangan dan minit kelulusan pegawai berkenaan.
Di bawah Peraturan 14 Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, pas khas ialah dokumen budi bicara yang pengeluarannya bergantung pada keputusan pegawai yang diberi kuasa, bukannya proses automatik.
/file/attachments/orphans/4_547798.png)
Pegawai kaunter tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk meluluskan permohonan secara bebas. Setiap permohonan mesti disertakan minit sokongan atau kelulusan bertulis pada Borang IMM.55 daripada pegawai yang diberi kuasa, seperti pengarah, timbalan pengarah negeri atau penolong pengarah kanan Bahagian Visa, Pas dan Permit.
Minit pegawai kanan itu justeru berfungsi sebagai kebenaran kepada pegawai bawahan untuk mengeluarkan pelekat pada pasport. Dalam skim yang didakwa dan diperhatikan Malaysiakini, kelulusan ini kelihatan menjadi pautan penting yang membolehkan permohonan diteruskan walaupun terdapat penyimpangan yang jelas daripada prosedur biasa.
Secara rasmi, pemohon mesti hadir di kaunter untuk pengesahan wajah dan biometrik. Mereka juga mesti mengemukakan pasport asal, borang IMM.55 yang lengkap, tiket penerbangan pulang yang sah dan surat yang menjelaskan sebab kelewatan atau keperluan pas tersebut.
Perlindungan ini bertujuan mencegah penyalahgunaan. Namun, dalam kes yang diperhatikan Malaysiakini, beberapa daripadanya kelihatan telah dipintas.
/file/attachments/orphans/3_891055.png)
RM20 secara rasmi, RM1,500 melalui sindiket
Yuran rasmi kerajaan bagi permohonan pas khas ialah RM20, mencerminkan peranannya sebagai kemudahan sementara untuk warga asing yang menghadapi kecemasan sebenar.
Untuk memastikan jumlah yang dikenakan sindiket yang didakwa itu, seorang wartawan Malaysiakini menyamar sebagai wakil seorang pemohon dan berunding secara langsung dengan ejen. Pendekatan menyamar ini perlu kerana struktur harga tidak dapat dipastikan melalui saluran terbuka atau temu bual biasa.
Sindiket itu menawarkan yuran pakej penuh sehingga RM1,500 bagi setiap pasport.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini terhadap purata lima hingga 10 pemohon yang diproses setiap hari sepanjang operasi pemantauan seminggu itu, skim yang didakwa itu boleh menjana antara RM7,500 dan RM15,000 sehari pada kadar tersebut. Ini anggaran berdasarkan jumlah yang diperhatikan dan yuran yang ditawarkan, bukan angka sebenar pendapatan sindiket yang telah disahkan.
Dalam semakan berasingan, seorang wartawan Malaysiakini menghampiri kaunter pertanyaan imigresen secara terbuka untuk bertanya sama ada wujud program khas bagi mengeluarkan pas khas kepada warga China. Seorang pegawai menjawab bahawa tiada program sedemikian.
Jawapan itu menunjukkan bahawa urusan yang diperhatikan Malaysiakini bukan sebahagian daripada dasar rasmi, tetapi, jika dapat dibuktikan, satu bentuk penyelewengan yang beroperasi di luar prosedur yang ditetapkan.
Mengapa permintaan tinggi dalam kalangan warga China
Justeru, timbul pesoalan, kenapa perkhidmatan ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan warga China?
Menurut sekurang-kurangnya dua orang dalam JIM yang dihubungi secara berasingan oleh Malaysiakini, permintaan itu berkait rapat dengan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Lembah Klang, terutamanya di pusat teknologi seperti Cyberjaya.
Kawasan itu sebelum ini menjadi tumpuan operasi penguatkuasaan besar-besaran yang melibatkan warga China yang disyaki bekerja dalam operasi penipuan dalam talian.
Pada November 2019, Jabatan Imigresen menahan 680 warga China dalam serbuan ke atas sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya yang didakwa digunakan sebagai pusat panggilan bagi sindiket penipuan pelaburan dalam talian berpangkalan di China. Operasi yang dijalankan selepas hampir dua bulan pengintipan itu turut menemui lebih 8,000 telefon bimbit dan ratusan komputer.
Pada Mac 2021, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana disyaki menerima rasuah RM300,000 untuk membantu melepaskan 22 warga China yang ditahan di depoh imigresen.
/file/attachments/orphans/7_373346.png)
Seorang sumber SPRM berkata lelaki berusia 44 tahun itu mendakwa dia boleh menyelesaikan penahanan kumpulan berkenaan, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian dan sindiket penipuan "Macau scam”.
Pada Julai 2026, polis menahan sembilan lelaki China yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan saham dalam talian di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Kes-kes ini menggambarkan kehadiran berulang operasi penipuan yang disyaki melibatkan warga China di Lembah Klang, kawasan luas yang sama di mana, menurut sumber JIM, permintaan terhadap urusan pas khas yang didakwa itu berterusan.
“Kebanyakan warga China yang terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian perlu tinggal lebih lama daripada yang dibenarkan visa pelancong asal mereka.
“Sekarang ini, kemudahan pengecualian visa atau pas lawatan sosial hanya membenarkan mereka tinggal 30 hari di Malaysia, dan tempoh itu tidak mencukupi bagi mereka.
“Jadi mereka guna pas khas ini untuk melanjutkan tempoh tinggal sehingga 90 hari atau lebih tanpa perlu keluar dari Malaysia,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Malaysiakini tidak dapat memastikan sama ada semua warga asing yang terlibat dalam operasi ini menyertai sindiket penipuan tersebut secara sukarela. Laporan terdahulu juga menyorot kes di mana pekerja di pusat panggilan sedemikian merupakan mangsa pemerdagangan orang yang dipaksa menyertai operasi itu.
Internet berkelajuan tinggi serta keselamatan yang ditawarkan oleh kondominium dan premis komersial di Lembah Klang dan Cyberjaya menjadikannya lokasi yang menarik bagi sindiket penipuan untuk mengendalikan pusat panggilan. Namun, tempoh visa yang terhad menimbulkan cabaran logistik kepada mereka.
Pasaran gelap pas khas yang didakwa itu seolah-olah menawarkan jalan keluar daripada kekangan tersebut, dengan orang tengah tempatan dan pegawai imigresen yang didakwa bersubahat memudahkan lanjutan tanpa warga asing itu perlu keluar dari negara ini.
Jika terbukti, dakwaan ini menunjukkan masalah yang lebih besar daripada isu pematuhan imigresen. Penyalahgunaan ini berpotensi membantu rangkaian jenayah siber dan penipuan dalam talian mengekalkan operasi mereka di Malaysia, sekali gus menimbulkan persoalan lebih luas tentang penguatkuasaan dan keselamatan negara.
/file/attachments/orphans/6_193050.png)
Pas berulang dedah kemungkinan jurang pengawasan
Di bawah peraturan semasa, pas khas bertujuan menjadi dokumen sementara yang membolehkan warga asing menyelesaikan urusan mendesak, termasuk masalah kesihatan, perubahan status pas atau prosiding mahkamah, sebelum meninggalkan Malaysia.
Pada prinsipnya, ia hanya dikeluarkan sekali, untuk tempoh maksimum 30 hari, selaras dengan tujuannya yang bersifat kecemasan dan sementara.
Namun, siasatan Malaysiakini menemui petunjuk bahawa sindiket itu memanipulasi pangkalan data imigresen dengan mengemukakan permohonan, dan memperoleh kelulusan, bagi beberapa pas khas untuk individu yang sama.
Pengeluaran berulang sedemikian sepatutnya dapat dikesan jika mekanisme semakan silang berfungsi seperti yang dimaksudkan. Keupayaan yang jelas untuk mendapatkan beberapa pas menimbulkan persoalan sama ada persekongkolan dalaman mungkin telah menjejaskan perlindungan tersebut.
Dalam sesetengah kes yang diperhatikan Malaysiakini, pas yang dikeluarkan berturut-turut membolehkan warga asing kekal di Malaysia lebih 100 hari, dengan tempoh tinggal mereka dilindungi dokumen sah di atas kertas. Jika disahkan, ini menjejaskan tujuan kemudahan tersebut dan menunjukkan potensi kelemahan dalam sistem pengawasan dan audit dalaman JIM.
Penemuan ini meninggalkan beberapa persoalan penting yang belum terjawab. Sejauh mana meluasnya dakwaan penyelewengan ini dalam JIM? Adakah pengaturan serupa telah berakar di pejabat imigresen di negeri lain? Dan yang paling penting, sejauh mana penyalahgunaan pas khas ini secara langsung memudahkan aktiviti sindiket penipuan dalam talian yang telah lama membimbangkan orang ramai?
Di bawah peraturan sedia ada, pegawai JIM tidak dibenarkan bercakap terus kepada media. Kenyataan awam mesti datang daripada jabatan atau pengarah yang diberi kuasa di peringkat negeri.
Malaysiakini menghubungi pejabat JIM Wilayah Persekutuan, termasuk melalui kunjungan sendiri, pada 10 Ogos. Malaysiakini turut memaklumkan seorang pegawai Imigresen Kuala Lumpur tentang penemuan siasatan ini dan menyerahkan bukti video serta gambar aktiviti sindiket yang didakwa itu di pejabat berkenaan.
Jabatan itu diberi tempoh lebih sebulan untuk memberi maklum balas sebelum laporan ini dimuktamadkan.
Menjawab pertanyaan Malaysiakini, pejabat itu berkata: “Kami masih menyiasat.”
JIM tidak menjelaskan skop siasatan itu, sama ada ia merangkumi pegawai kanan yang dikenal pasti dalam penemuan Malaysiakini, atau bila siasatan itu dijangka selesai.
Malaysiakini akan terus mengikuti perkembangan kes ini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/klimmigrationsyndicate_175778.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.