Kerjasama PN-BN di SG4: Masih terlalu awal tapi dah ada indikasi, kata Syahir
Ketika PAS secara terbuka menyatakan parti itu menerima hakikat bahawa Umno-BN akan memimpin Melaka di sebalik kerjasama bagi mendepani PRN tidak lama lagi, rancangan kerjasama di empat negeri dikuasai PAS (SG4) juga sudah mula diatur.
Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Sulaiman berkata walaupun masih terlalu awal dan belum berlaku perbincangan secara rasmi, Umno dan PAS masing-masing sudah mempunyai indikasi awal dalam konteks kerjasama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Perkara itu timbul selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini mengungkapkan perihal kerjasama dengan BN dalam konteks perundingan kerusi di PRN Melaka sebaliknya bukan bagi negeri SG4.
Ditanya mengenai kenyataan Abdul Hadi, Syahir berkata, ahli politik berusia 78 tahun itu bercakap terkait kepimpinan Umno-BN dalam konteks PRN Melaka saja, manakala di negeri lain ia masih “terlalu awal.”
Pada masa sama, Syahir yang juga setiausaha politik kepada Abdul Hadi menegaskan pendirian Presiden PAS terbabit adalah sama saja dengan sikapnya terhadap PRN Negeri Sembilan.
“Masih terlalu awal (bercakap mengenai kerjasama di negeri SG4). Jawapan Tok Guru (Abdul Hadi) adalah dalam konteks rundingan kerusi PRN Melaka,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Tambah Syahir, sejak awal lagi PAS mengiktiraf BN yang akan memimpin kerajaan Negeri Sembilan dan kemudiannya Melaka.
“Itu menjadi asas rundingan,” katanya lagi.
Justeru, kata tambah Ahli Parlimen Bachok tersebut, bagi rundingan pengagihan kerusi bagi PRU ke-16 dan negeri SG4, ia belum dimulakan secara rasmi.
“Tetapi kedua-dua pihak sudah ada indikasi awal sebagai asas kerjasama,” katanya.
Syahir bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengulas lanjut “indikasi awal” yang dimaksudkannya.
Pengagihan kerusi selalu menjadi isu duri dalam daging bagi sebarang kerjasama parti politik. Ia bagaimanapun tidak begitu signifikan semasa PN – yang kini dikuasai PAS – bekerjasama dengan Umno-BN semasa PRN Negeri Sembilan.
Pun begitu bagi menghadapi PRN Melaka, Abdul Hadi – di sebalik statusnya yang tiada sebarang jawatan dalam PN – menegaskan asas rundingan dengan Umno-BN adalah berbeza di negeri tersebut.
Misalnya beberapa kali Abdul Hadi mengingatkan bahawa di sebalik penguasan menyeluruh Umno-BN dalam DUN Melaka, parti itu tiada sebarang wakil di semua enam kerusi parlimen.
Pada masa sama Umno pula – melalui timbalan presidennya, Mohamad Hasan, mencadangkan agar mereka menguji keterbukaan PAS melalui PRN di mana-mana negeri dalam SG4, termasuk Terengganu.
Sabtu lalu PAS menghantar isyarat yang lunak apabila Abdul Hadi mengakui bahawa BN yang akan memimpin Melaka jika persefahaman dengan PN berjaya memenangi majoriti dalam DUN.
PAS-PN pula hanya akan bersama dalam kerajaan selepas PRN pada 14 Nov akan datang.
Ahli Parlimen Marang dan tokoh yang paling lama menjadi Presiden PAS itu turut menegaskan mereka bakal meneruskan kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRU mendatang.
“Kita usaha diteruskan (kerjasama), dan untuk makluman awal kita terima hakikat Melaka dipimpin oleh BN, kita dalam kerajaan,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/SyahirSulaimansddd_746010.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.