Bersatu: PAS dan sekutu bukan mangsa tapi punca PN dibatalkan pendaftaran
Bersatu meletakkan sepenuhnya kesalahan atas pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) kepada PAS, dengan menuduh parti itu punca menyebabkan gabungan berkenaan melanggar undang-undang dan perlembagaannya sendiri.
Ini susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini yang membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati maklum balas gabungan itu terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan tidak memuaskan.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Bersatu Mohamed Azmin Ali berkata kepimpinan PN di bawah PAS telah mengketepikan prinsip tadbir urus yang baik dan telus apabila menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, menyuarakan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu pada 16 Julai lalu.
Sambil memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh membawa kesan serius dan menghancurkan masa depan PN, Azmin berkata PAS dan sekutunya sepatutnya bertanggungjawab atas pembatalan pendaftaran itu, bukannya menggambarkan diri mereka sebagai mangsa.
"Hari ini, PAS dan sekutunya memberi gambaran seolah-olah mereka adalah mangsa politik dan cuba meraih simpati menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
"Hentikan propaganda dan politik identiti yang melampau.
"Hakikatnya, PAS gagal mengurus sebuah organisasi berteraskan prinsip demokrasi, urus tadbir yang baik dan sering mengkhianati rakan dalam perjuangan.
"Sesungguhnya, mengenepikan kebenaran adalah perbuatan yang tercela," katanya.
BACA JUGA: ROS batalkan pendaftaran PN
https://www.malaysiakini.com/news/887452-ros-batalkan-pendaftaran-pn
Azmin berkata keputusan ROS itu turut membuktikan bahawa Bersatu berada di pihak yang benar, dan mendakwa alasan yang diberikan PAS berhubung tindakan mengketepikan Bersatu daripada mesyuarat Majlis Tertinggi itu adalah tidak berasas.
Bagaimanapun, beliau mengakui keputusan itu sukar diterima Bersatu memandangkan parti itu merupakan anggota pengasas PN dan telah membantu meletakkan asas bagi perjuangan politik gabungan berkenaan.
Namun, katanya, Bersatu menerima hakikat bahawa PN perlu melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan perlembagaan gabungan itu dan undang-undang.
"Bersatu akan meneliti keputusan penuh ROS dan akan membincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengenai langkah-langkah seterusnya.
"Langkah-langkah ini bertujuan membina semula keyakinan rakyat kepada sebuah gabungan parti-parti politik yang sederhana, membawa politik nilai dan membina gagasan baru demi Malaysia yang sejahtera untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Pada 22 September lalu, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mengesahkan gabungan itu menerima surat tunjuk sebab daripada ROS yang memberi amaran bahawa pendaftarannya berdepan pembatalan dalam masa terdekat.
PN menerima satu lagi notis berasingan pada 23 September yang mengarahkannya menghentikan kegiatan menggunakan nama gabungan itu.
Ketika itu, Ahli Parlimen Kota Bharu tersebut menyifatkan tindakan berkenaan bermotifkan politik, sambil mendakwa ia berkait dengan aduan Bersatu berhubung keputusan PN tidak menjemput parti itu menghadiri mesyuarat gabungan berkenaan pada 16 Julai lalu.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/ec2efc23f8e97434d5f5f6a6fa403035.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.