Pembatalan pendaftaran PN yang terjadi pada hari ini dilihat tidak memberi kesan besar kepada PAS dan gabungan tersebut, malah dilihat menguatkan lagi semangat mereka untuk menghadapi pilihan raya.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, misalnya, menzahirkan keazaman parti itu untuk menghadapi lawan ketika keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan pendaftaran PN.

Dia menggunakan media sosial untuk menyatakan bahawa PAS dan sekutu mereka tidak ‘goyang’ mendepani cabaran itu walaupun PRN Melaka semakin menghampiri.

"Lambang apa PN hendak guna di PRN Melaka?

“Gunalah lambang apa pun, asalkan bukan lambang PH dan Bersatu ja (saja)," tulisnya yang juga seorang daripada pemimpin kanan PN.

Pagi tadi ROS mengumumkan pendaftaran PN dibatalkan selepas surat penjelasan yang dihantar oleh parti gabungan pembangkang itu dianggap tidak menjawab persoalan yang dikemukakan jabatan berkenaan.

ROS menghantar notis kepada PN pada 22 Sept lalu dan dijawab pada 12 Okt.

Jawaban yang diberikan PN, kata ROS, didapati tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran seperti yang dinyatakan dalam notis kepada parti terbabit.

“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah Subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta 832,” katanya.

Sementara itu Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai amat luar biasa, serta “luar tabii”.

Mengulas keputusan berkenaan, Ahmad Samsuri memberitahu PN baru saja menerima surat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meminta maklum balas berhubung penggunaan logo gabungan itu untuk menyertai PRN Melaka.

Dia yang juga seorang lagi Naib Presiden PAS mendakwa, susunan garis masa terkait pembatalan pendaftaran PN menunjukkan ia bermotifkan politik serta menampakkan ketakutan pihak tertentu terhadap pengaruh besar PN.

"Ingatlah, gelombang rakyat tidak akan mudah padam dengan tindakan orang politik yang berselindung di sebalik kuasa,” katanya.