Lagi laporan polis terhadap Najib

       

kemaskini 4:56pm Sekumpulan pemimpin pembangkang dan aktivis membuat aduan polis lagi terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung perolehan helikopter Eurocopter dan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

anak muda malaysia ngo police report on najib eurocopter 211008 03 Kira-kira 10 orang yang menggelarkan diri Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMM), bersama ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin dan setiausaha Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah Al-Jundi, membuat laporan itu di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Turut hadir bersama membuat laporan polis tersebut, penulis blog dan aktivis pemantauan pilihanraya bebas Amin Iskandar.

Mereka bergerak dari Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur ke balai polis itu dengan membawa kain rentang bertulis "Najib penuh skandal! Ketika menjadi menteri pertahanan."

Foto-foto Najib, isterinya Rosmah Mansor, Altantuya dan kapal selam turut dipaparkan di kain rentang tersebut.

Sepanjang perjalanan itu dalam jarak beberapa ratus meter, kumpulan ini diawasi oleh beberapa puluh anggota polis, termasuk yang berpakaian biasa.

anak muda malaysia ngo police report on najib eurocopter 211008 04 Semalam, timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Fariz Musa membuat aduan polis berhubung kontrak Eurocopter Cougar EC-725 yang didakwa "lebih mahal" berbanding yang diperolehi oleh Brazil.

Bersandarkan surat syarikat Mentari Services Sdn Bhd kepada Najib awal bulan ini, yang telah diterbitkan di Internet termasuk Malaysiakini , SAMM mendesak polis menyiasat secara menyeluruh pembelian pesawat ini yang dibuka tendernya ketika timbalan perdana menteri masih lagi menjawat menteri pertahanan.

Najib kini menteri kewangan.

Mereka juga mendesak polis membuka semula siasatan terhadap pembunuhan wanita Mongolia yang didakwa berkaitan Najib.

anak muda malaysia ngo police report on najib eurocopter 211008 05 "Kita telah mengemukakan 21 helai dokumen dan sokongan yang cukup untuk polis memulakan siasatan dan tindakan selanjutnya," kata Badrul Hisham selepas membuat laporan polis.

Menurutnya, dokumen lain yang dilampirkan termasuk transkrip khidmat pesanan ringkas (SMS) antara timbalan perdana menteri dengan peguam kanan Datuk Shafee Abdullah berhubung perbicaraan penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, seorang kenalan Najib.

Selain menafikan beberapa kali pembabitan dengan Altantuya, Najib juga menolak dakwaan wujud salah guna kuasa seperti teks mesej SMS yang disebarkan itu.

Dalam suratnya 7 Oktober lalu, pengerusi Mentari Services Sdn Bhd Kapt (B) Datuk Zahar Hashim mendakwa keputusan Kementerian Pertahanan mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

Kementerian bagaimanapun menafikan perolehan helikopter itu melalui proses yang meragukan dan luar kebiasaan seperti dakwaan.

Dalam kenyataannya Jumaat lepas, ketua setiausaha kementerian itu Datuk Abu Bakar Abdullah menyatakan perolehan itu mengikut peraturan seperti ditetapkan, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Kelmarin, kabinet dilaporkan bersetuju Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian itu bagi menggantikan helikopter Nuri.

Badrul Hisham menambah, SAMM juga bercadang membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung perkara tersebut.

"Kita akan membuat laporan (kepada BPR) secepat yang mungkin, sama ada hari ini atau selewat-lewatnya esok," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda