mk-logo
Berita
Ibu pejabat iktiraf Bazlan ketua Pemuda Gua Musang

Bazlan Baharuddin mendapat semula jawatannya sebagai ketua Pemuda Gua Musang apabila ibu pejabat Umno hari ini mengumumkan bahawa mesyuarat pertama pergerakan itu yang dipengerusinya 23 Oktober lalu adalah sah.

Dalam mesyuarat tersebut Bazlan dipilih semula menerajui pergerakan tersebut. Bagaimanapun, dua hari kemudiannya, Pemuda bahagian mengadakan mesyuarat keduanya, yang memilih Mohd Azizi Abu Naim sebagai ketua Pemuda.

Sabtu lalu, ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, mesyuarat pertama dibatalkan kerana tidak mematuhi arahan yang diputuskan di peringkat bahagian.

Tengku Razaleigh berkata pembatalan mesyuarat itu bukan diputuskan oleh beliau, tetapi oleh Ibu Pejabat Umno.

Bagaimanapun, pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, beliau menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Umno hari ini yang memaklumkan

bahawa mesyuarat yang dipengerusikan Bazlan adalah sah dan tidak terbatal sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Mesyuarat itu berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Gua Musang dan dihadiri oleh 189 perwakilan daripada 79 cawangan dan turut dihadiri wakil Pemuda Umno negeri.

"Setelah berlakunya pertindihan, laporan lengkap mengenai perjalanan mesyuarat yang diadakan pada seminggu lalu telah dihantar ke ibu pejabat untuk dinilai dan dijalankan siasatan lanjut oleh pihak atasan.

Siasatan Umno negeri

"Keputusannya telah diketahui hari ini apabila saya menerima panggilan yang mengesahkan mesyuarat itu adalah sah dan Bazlan Baharuddin kekal sebagai Ketua Pemuda bahagian itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Terbuka Umno Bahagian Ketereh, Kelantan hari ini.

Berikutan itu juga, katanya, mesyuarat Pemuda bahagian itu yang diadakan pada 25 Oktober lalu adalah terbatal.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Bazlan berkata, siasatan berhubung kedua-dua mesyuarat yang diadakan itu, dijalankan oleh badan perhubungan Umno negeri.

Katanya, beliau dan tiga orang lagi telah dipanggil oleh badan perhubungan negeri pagi semalam untuk mengambil keterangan untuk tujuan siasatan.

Sehari sebelum itu, katanya, setiausaha bahagian, Salleh Hamzah turut dipanggil untuk memberi keterangan.

"Manakala petang semalam, empat orang dari kumpulan yang mengadakan mesyuarat kedua (25 Oktober), telah dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.

Pencalonan Khir Toyo dikekalkan

Mengulas mengenai keputusan terbaru itu, Bazlan berkata, ia adalah satu keputusan yang adil.

"Kita bukan hendak bergaduh tetapi ini adalah kemenangan Pemuda Gua Musang," katanya.

Bazlan juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk ibupejabat Umno kerana membuat siasatan yang adil.

Katanya, beliau juga difahamkan, keputusan mesyuarat Pemuda bahagian pada 23 Oktober lalu, yang mencalonkan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sebagai calon ketua Pemuda, adalah kekal

Bahagian itu turut mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican untuk jawatan naib ketua.

Mesyuarat kedua pada 25 Oktober lalu mencalonkan Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pemuda manakala ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dicalonkan sebagai naib ketua.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini