Tiada peningkatan media arus perdana
Keyakinan orang ramai terhadap media arus perdana masih rendah dan tidak wujud sebarang peningkatan kredibiliti seperti dakwaan seorang setiausaha parlimen semalam, kata seorang tokoh pembangkang.
Bekas penulis kolum Utusan Malaysia Rustam A Sani berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Senator Datuk Zainuddin Maidin dalam satu rancangan TV3 pagi semalam.
Dalam rancangan itu, Zainuddin dilaporkan berkata jumlah jualan akhbar dan penonton televisyen yang semakin meningkat menunjukkan media arus perdana "mempunyai kredibiliti yang tinggi."
Ketika dihubungi pagi ini, Rustam yang juga Pengerusi Badan Bertindak Monitor Media (BBMM) menjelaskan berdasarkan tinjauan kumpulan itu, peningkatan seperti disebut Zainuddin itu tidak wujud.
"Jika ada (peningkatan), terlalu kecil iaitu antara tujuh sehingga 12 peratus (akhir tahun lalu)," kata Rustam. "Peningkatan itu mungkin terjadi terhadap satu atau dua akhbar, dan bukan merupakan trend umum akhbar-akhbar utama di negara ini."
Menurut sebuah agensi bebas penyelidikan pemasaran AC Nielson tahun lalu, semua akhbar utama mengalami kemerosotan jualan yang serius. Akhbar New Straits Times mengalami penurunan jumlah jualan sebanyak 34 peratus dalam tempoh dua tahun sejak 1999, Berita Harian (30 peratus), Utusan Malaysia (27 peratus), The Star (6.3 peratus) dan Sin Chew Jit Poh (1.7 peratus).
Kajian agensi yang sama menunjukkan pengguna internet meningkat secara mendadak kepada 183 peratus, manakala penonton televisyen satelit meningkat 83 peratus.
Menurut Rustam, jumlah pembaca dan penonton bukanlah satu-satunya petunjuk untuk mengukur kredibiliti media.
"Orang ramai akan terus membeli akhbar, bukan sahaja untuk berita politik, tetapi juga untuk 'khidmat' lain seperti nombor ekor, iklan pekerjaan, rencana-rencana hiburan dan sebagainya," katanya.
Alasan melarang Malaysiakini
"Kita juga perlu melakukan tinjauan pandangan awam yang sistematik lagi bebas untuk mengetahui apakah pandangan rakyat umum tentang kredibiliti media utama negara ini."
Menurut laporan akhbar hari ini yang memetik kenyataannya dalam rancangan itu, Zainuddin juga mendakwa akhbar harian malaysiakini tidak dibenarkan membuat liputan majlis rasmi "bukan kerana ia mengkritik kerajaan tetapi kerana laman web itu diragui kredibilitinya."
Bagaimanapun Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung minggu lalu mendakwa malaysiakini dilarang berbuat demikian kerana ia "terlalu mengkritik kerajaan."
Chor kemudiannya menafikan larangan itu berdasarkan alasan itu tetapi sebaliknya berhujah wartawan malaysiakini tidak mempunyai kad perakuan akhbar rasmi seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.