Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, sewajarnya melakukan perubahan terhadap kongkongan media di negara ini daripada mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas terhadap Malaysiakini.com.

"Kebanyakan kawan dan peminat Zam (Zainuddin) berharap wartawan veteran itu akan mempengaruhi kerajaan untuk melonggarkan kawalan terhadap media," kata Pengerusi DAP Lim Kit Siang, mengulas laporan akhbar hari ini yang menyebutkan Zainuddin sebagai berkata malaysiakini dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan kerana akhbar web itu tidak mempunyai kredibiliti.

Menurut Lim, Zainuddin sepatutnya menggesa kerajaan menghapuskan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, serta memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat bagi menggerakkan negara ini ke arah masyarakat bermaklumat dalam k-ekonomi.

Lim turut membidas kenyataan Zainuddin yang menyerang malaysiakini dengan mempersoalkan kredibiliti akhbar internet itu kerana didakwa menerima bantuan kewangan daripada Tabung Masyarakat Terbuka milik jutawan George Soros.

"Sebagai wartawan berpengalaman selama 40 tahun, Zam mengeluarkan pandangan yang tidak profesional daripada sudut pandangan kewartawanan (apabila mengulangi dakwaan itu)," kata bekas Ketua Pembangkang itu.

Minggu lalu Malaysiakini.com menafikan menerima bantuan kewangan daripada Soros. Institut Masyarakat Terbuka (OSI), yang mengendalikan dana itu, dan Persatuan Akhbar Asia Tenggara (Seapa) turut mengeluarkan penafian bagi menolak laporan majalah mingguan Far Eastern Economic Review (FEER) edisi 8 Februari lalu.

Dalam laporan Bernama semalam yang memetik kenyataannya dalam rancangan TV3, Zainuddin turut mendakwa ketua pengarang akhbar internet itu, Steven Gan pernah bekerja di syarikat akhbar yang menentang kerajaan.

Steven sebelum ini pernah bertugas bersama The Nation di Bangkok, Thailand selepas meninggalkan akhbar The Sun .

Menapis internet

Sementara Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) menyifatkan larangan terhadap malaysiakini sebagai "gelombang kedua" tindakan kerajaan selepas mengharamkan mingguan Eksklusif dan majalah-majalah Detik dan Al-Wasilah tahun lalu.

"Tindakan (menyekat media bebas) ini sangat berbahaya dan perlu ditentang oleh semua wartawan di negara ini, khususnya NUJ (Kesatuan Wartawan Nasional), dan rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran," kata jurucakap Kami, Ahmad Lutfi Othman kepada malaysiakini hari ini.

Kumpulan wartawan itu menyifatkan langkah terbaru kerajaan ini sebagai usaha menapis dan menyekat bahan-bahan di internet melalui "jalan belakang" dan cara yang "halus".

Lutfi juga menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat "kongkongan melampau" kerajaan ini dan menyegerakan siasatannya terhadap aduan-aduan anggota Kami berhubung kebebasan media tahun lepas.

Sementara itu, Parti Keadilan Nasional hari ini mengecam "permainan media (arus perdana)" yang cuba mengelirukan penyokong parti itu dengan mengulangi berita 'Keadilan bukan parti Melayu.'

"(Keadilan) secara tegas mengulangi kenyataan bahawa parti kami adalah sebuah parti berbilang kaum yang berteraskan orang Melayu," kata Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir.

"Melalui permainan politik ini, mungkin pihak-pihak tertentu mengharapkan akan timbul keraguan, kekaburan dan syak-wasangka masyarakat umum khususnya masyarakat Melayu terhadap parti ini."