Rugi sertai perbincangan Umno: AJK PAS
Pilihan PAS untuk menerima pelawaan Umno bagi membincangkan, pada asalnya, isu perpaduan Melayu merugikan, dakwa ahli jawatankuasa PAS Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.
Bagaimanapun wakil Muslimat itu menegaskan penerimaan untuk membincangkan masalah itu dibuat berdasarkan tanggungjawab parti.
"Secara politik memang rugi kerana Umno ditonjolkan sebagai hero, tetapi berdasarkan Islam yang mengetepikan fahaman politik dan sebagai tanggungjawab (kepada rakyat), PAS sedia untuk bermuzakarah," katanya kepada malaysiakini , mengulas sikap ahli akar umbi terhadap kesungguhan Presiden parti itu Datuk Fadzil Noor untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Malaysiakini difahamkan ahli PAS kurang senang dengan kesediaan PAS mengadakan pertemuan itu tetapi sebagai sebuah pertubuhan Islam, mereka mematuhi keputusan parti. Tabloid rasmi parti itu Harakah dalam keluaran terbaru membayangkan kebimbangan ahli akar umbi PAS.
Lidah pengarang tabloid bertarikh 16-28 Februari itu, bertajuk 'Jangan terpedaya isu palsu Umno,' mengingatkan ahli PAS agar tidak dipengaruhi usaha Umno "mempromosikan barangan lama yang sudah tidak laku seperti isu perpaduan Melayu."
Tabloid yang sama juga menerbitkan ucapan Naib Presiden PAS Senator Hassan Shukri yang menyebutkan Dr Mahathir sebagai punca PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional pada 1978.
Bantahan melalui surat, emel
"Saya percaya ini (mengajak PAS menyertai BN) adalah usaha beliau (Dr Mahathir) untuk menjauhkan orang bukan Islam daripada menyokong PAS," kata Hassan, seperti dipetik daripada rencana bertajuk 'Mahathir penyebab PAS disingkir.'
Apabila ditanya sejauh mana tentangan ahli akar umbi berhubung pertemuan Umno-PAS, Dr Lo' Lo' menjelaskan rasa tidak puas hati itu timbul akibat sentimen membenci tindakan keras kerajaan pimpinan Dr Mahathir.
"Ahli tidak berpuas-hati kerana Umno hendak bercakap pasal perpaduan. (Tetapi) pada masa yang sama kezaliman masih berterusan misalnya, kerakusan dalam ekonomi, bail out dan pembelian saham MAS, hak untuk bersuara dinafikan, royalti minyak Terengganu dirampas, geran untuk Kelantan dan Terengganu ditunda," jelasnya.
Malaysiakini difahamkan bantahan juga wujud daripada ahli jawatankuasa pusat PAS sendiri melalui kiriman surat dan emel, selain pandangan peribadi ahli-ahli yang dihantar ke ibu pejabat PAS.
Dr Lo' Lo' menjelaskan, pemimpin parti itu sedar risiko yang terpaksa bakal dihadapi, khususnya apabila kerajaan menguasai media utama negara ini.
"Kita tidak mempunyai kekuatan itu (media), tetapi meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Ustaz Fadzil," kata Dr Lo' Lo', sambil menambah pemimpin utama parti itu, Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Abdul Hadi Awang turut memberikan mandat kepada Fadzil berhubung isu tersebut.
Bulan lalu, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan menghalang jika PAS ingin menyertai pakatan kerajaan itu. Beberapa pemimpin utama parti komponen BN turut menyokong pandangan Perdana Menteri itu.
Isu penyertaan PAS dalam BN itu menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli PAS apabila media arus perdana sering melaporkan isu perpaduan Melayu dan mengajak PAS menyertai perbincangan dengan parti itu sejak akhir Disember lalu.
Penulis politik terkenal Ahmad Lutfi Othman pula berkata ahli dan penyokong PAS "tidak perlu terlalu gusar" terhadap manipulasi media memandangkan "trend orang ramai yang tidak menerima 100 peratus laporan media" sejak pemecatan dan perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
'Jarum halus' Umno
Bagaimanapun tambahnya PAS perlu menjelaskan kepada ahli di peringkat akar umbi sebelum keraguan mereka terhadap usaha pertemuan itu dimanupulasikan oleh media arus perdana.
"Pimpinan PAS terpaksa menjelaskan kepada ahli di segenap ceruk rantau sebelum 'jarum halus' Umno mengikis keraguan dan menimbulkan syak-wasangka di kalangan parti-parti Barisan Alternatif," kata Lutfi.
Penulis itu berhujah tindakan Fadzil yang suka bekerjasama itu telah mendatangkan kesan positif kepada PAS dan parti-parti pembangkang.
"Sebelum ini PAS dilihat agak tertutup tetapi Ustaz Fadzil telah memulakan kerjasama dengan Semangat 46 dalam pilihanraya 1990 walaupun mendapat tentangan keras kebanyakan ahli di peringkat akar umbi selepas isu (pembunuhan di) Memali 1985," ulas Lutfi, sambil menambah kerjasama PAS bersama parti serpihan Umno itu berjaya membawa kemenangan di Kelantan.
Beliau juga berkata tindakan Fadzil hadir secara peribadi di kediaman Anwar menjelang hari pemecatan pemimpin negara itu juga tidak disenangi oleh ahli PAS tetapi akhirnya mendatangkan kebaikan sehingga membawa kerjasama dengan tiga lagi parti pembangkang utama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.