Pemuda PAS: Fairus sukar ditemui

       

kemaskini 7:52pm Selepas 10 bulan Pakatan Rakyat merampas Pulau Pinang, Pemuda PAS negeri masih gagal bertemu secara rasmi dengan timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin walau telah berusaha beberapa kali, kata sumber dewan itu.

Lalu dewan itu menganggap pemimpin kerajaan Pulau Pinang itu tidak berminat berjumpa dengan barisan kepemimpinannya.

"Kita rasa malas (nak atur pertemuan lagi). Kita anggap (beliau) tak mahu jumpa," sumber itu memberitahu Malaysiakini , mengulas dakwaan wakil rakyat PKR itu "tidak cekap" sehingga mendorong beberapa pegawainya meletakkan jawatan.

Mohammad Fairus minggu lepas menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan semua dakwaan itu bohong dan dibuat bertujuan merosakkan nama baik beliau kerana ada pihak cemburu terhadapnya.

Kata sumber itu lagi, pertemuan Pemuda PAS dengan Mohammad Fairus yang juga exco agama negeri antara lain bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan hal-ehwal Islam dan kedudukan sosio-ekonomi serta pendidikan orang Melayu di negeri tersebut.

Walaupun mendapat maklum balas daripada pemimpin negeri itu melalui surat atau faksimili untuk berjumpa tetapi tiada tarikh khusus ditetapkan, kata sumber lagi.

fairus khairuddin and penang Mohammad Fairus pernah sekali bersedia bertemu mereka tetapi dibatalkan oleh Dewan Pemuda PAS akibat masalah keluarga seorang pemimpinnya.

Barisan kepemimpinan Pemuda PAS negeri bagaimanapun tidak berselisih faham atau perkelahian dengan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, tambah sumber.

Pemuda PAS negeri tidak menafikan laporan media berhubung prestasi rendah PKR itu itu yang didakwa tidak cekap mentadbir, termasuk sering lambat menghadiri program dan mesyuarat.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, timbalan ketua menteri itu menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemimpin PAS neger, termasuk Dewan Pemudanya.

"Saya tidak ada masalah dengan PAS. Saya sentiasa adakan pertemuan dengan YB Hamdan dan ustaz Salleh Man.

"Saya adakan pertemuan berterusan (dengan negeri) dan mempertahankan hubungan baik (dengan mereka)," katanya.

Hamdan Abdul Rahman adalah ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, bersebelahan Penanti, manakala Salleh Man pesuruhjaya PAS negeri.

Mohammad Fairus juga menegaskan kesediaannya bertemu dengan pemimpin Pemuda PAS "dalam masa yang terdekat" untuk membincangkan isu-isu tersebut.

Seorang exco kerajaan negeri bagaimanapun menggesa semua pihak memberi peluang kepada ketuanya itu untuk memajukan dirinya.

"Beliau orang baru, orang yang memegang amanah, kena bagi sedikit masa. Saya merayu (kepada semua), beri peluang, beri beliau masa," kata exco kesihatan, kebajikan dan masyarakat penyayang Phee Boon Poh.

Beliau, yang juga wakil rakyat DAP bagi Sungai Puyu, menjelaskan Mohammad Fairus juga telah cuba meningkatkan prestasi dan mutu kerjanya.

"Orang kata beliau tidak bertanggungjawab, tetapi beliau berusaha meningkatkan prestasi," katanya.

Ahli jawatankuasa DAP negeri itu menyifatkan laporan media berhubung prestasi Mohammad Fairus "amat negatif".

Beliau dan barisan exco negeri, tambah Phee, memberi sokongan dan berkongsi pengalaman dengan timbalan Lim Guan Eng itu untuk memperbaiki lagi prestasinya sebagai pemimpin kerajaan negeri.

"Saya berkata kepadanya, sekiranya ada apa-apa yang kurang faham, sentiasa berjumpa dengan saya untuk berkongsi pengalaman," kata Phee lagi.

Manakala seorang pemimpin kanan AMK negeri - yang enggan dikenali - juga menyifatkan prestasi pemimpin itu "ada peningkatan" dan "ada banyak perubahan."

Beliau menjelaskan, timbalan pengerusi badan perhubungan PKR itu sejak dua atau tiga bulan kebelakangan sering menepati masa dan memenuhi temujanji.

"Sekarang beliau (Fairus) mengambil perhatian dengan teguran (daripada pimpinan PKR)," kata pemimpin AMK itu.

Malaysiakini
terkini untuk anda