Orang ramai tidak perlu menetapkan temujanji atau menyediakan laporan bertulis untuk membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA), kata pengarah negeri Johor biro itu Jasmaliza Jamaludin.
"Ada pegawai yang boleh mengambil aduan. Aduan bertulis dialu-alukan," katanya.
Beliau diminta mengulas dakwaan biro bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu enggan menerima rungutan sekumpulan penduduk Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru, Jumaat lepas.
"Di sana ada borang, tidak bawa (aduan bertulis) tidak apa, borang itu mewakili aduan seseorang," tambah Jasmaliza.
Malaysiakini melaporkan, BPA didakwa enggan menerima rungutan penduduk itu walaupun mereka hadir bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kira-kira jam 9.30 pagi minggu lepas.
Menurut penasihat Pertubuhan Kebajikan Kampung Baru Plentong Tengah (PKKBPT) Syed Othman Syed Abdullah, biro itu tidak bersedia menerima aduan berhubung perobohan rumah-rumah mereka dan penempatan semula dengan alasan "mereka (BPA) tidak dimaklumkan terlebih dahulu" dan juga "tidak membawa aduan bertulis."
Setelah berada sejam di pejabat biro, pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam dan lima wakil Pertubuhan Kebajikan Kampung Baru Plentong Tengah (PKKBPT) meninggalkan tingkat 21 bangunan Komtar, Johor Bahru tanpa membuat sebarang aduan.
Pengerusi penaja PKKBPT Kamarul Arifin Yusa
(foto)
, yang turut hadir di pejabat BPA tetapi tidak menyertai perbincangan Suhakam dengan salah seorang penolong pengarah biro tersebut Abdul Karim Atan, mengesahkan BPA tidak merekodkan sebarang aduan berhubung perkara tersebut.
Dengan layanan yang baik, tambah Kamarul Arifin, BPA meminta penduduk menyiapkan aduan secara bertulis kepada biro tersebut.
Dihubungi Malaysiakini petang ini, Jasmaliza bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Syed Othman dan Kamarul Arifin.
Isu lawatan pesuruhjaya Suhakam ke pejabat BPA Johor wajar ditanyakan kepada ibu pejabat biro itu di Putrajaya, tambahnya.
"Kalau seseorang datang mengadu, kita layan sebagai pengadu. Kalau urusan rasmi, kita layan seperti urusan rasmi," kata Jasmaliza.
Katanya lagi, selain datang sendiri tanpa sebarang temujanji, seseorang boleh membuat aduan melalui telefon, surat, faksimili dan emel.
Malaysiakini gagal mendapatkan reaksi Abdul Karim dan difahamkan beliau sedang bercuti.
