BERITA

Pemuda Umno diingat jaga disiplin di KT

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Dis 2008, 5:19 pagi

Anggota Pemuda Umno yang akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu,

diingatkan supaya menjaga displin dan jangan menimbulkan sebarang kekecohan, terutama pada hari penamaan calon pada 6 Januari depan.

"Jangan cepat melatah, jangan buat hal," kata Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika dihubungi Malaysiakini .

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail di Genting Highlands pada 28 November lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi pilihanraya kecil pada 17 Januari.

Ketua Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga timbalan menteri dalam negeri, telah dipilih sebagai calon BN.

ummo youth pc 100306 abdul rahman dahlan Sebaliknya, Abdul Rahman mahu jentera Pemuda Umno menerangkan kepada rakyat isu-isu yang relevan dengan orang Melayu sepanjang kempen pilihanraya tersebut.

Pemuda BN, katanya, akan membantu calon BN berkempen terutama di kawasan bandar Kuala Terengganu.

Ini kerana, katanya, ramai pengundi di kawasan bandar itu terdiri daripada kaum Cina dan India.

Berkampung di KT

Abdul Rahman berkata, semua Pemuda Umno negeri telah diarahkan supaya menghantar anggotanya turun berkempen dalam pilihanraya kecil tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan bilangan anggota Pemuda untuk berkampung sepanjang kempen pilihanraya tersebut.

"Kita memang sudah bersedia dari segi logistik dan isu-isu yang hendak dibawa. Persediaan Pemuda mantap.

"Dari segi tenaga (kerja berkempen) kita tak ada masalah," kata Abdul Rahman.

Katanya, pemimpin Pemuda di Kuala Terengganu cukup berpengalaman dalam beberapa pilihanraya kecil, termasuk ketuanya, Badrol Hisham Zaki.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Razali menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas, Maimun Yusuf, dengan majoriti 628 undi.

Calon PAS

Manakala PAS pula akan mengumumkan nama calonnya pada 1 Januari depan.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Selain itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) telah menyatakan minat untuk bertanding. Tiga orang lagi telah menyatakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun Yusuf yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu dan dua orang lagi ialah usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.

Sehubungan itu, Abdul Rahman yang juga ahli parlimen Tuaran menjelaskan kerusi parlimen tersebut amat penting kepada Umno dan Barisan Nasional kerana ia menjadi titik perubahan untuk mengukur prestasi Umno.

Ditanya mengenai peluang Wan Farid untuk memenangi seterusnya mengekal kerusi parlimen itu, beliau berkata, walaupun yakin boleh menang tetapi "kita kena berhati-hati sebab hari terakhir pun boleh jadi isu".

"Kita yakin menang, cuma jangan ada masalah pada saat-saat terakhir," tambah Abdul Rahman sambil menegaskan bahawa mengekalkan kemenangan lebih sukar daripada mencapai kemenangan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.