Laksanakan akta pelampau agama secara menyeluruh
Undang-undang yang melibatkan 'pelampau agama' perlu dilaksanakan secara menyeluruh, gesa Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Nasional, Dr Badrul Amin Baharom.
Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu menjelaskan undang-undang tersebut perlu dilaksanakan secara adil dan maksud 'pelampau agama' diberikan tafsiran yang kukuh.
"Pada pendapat saya pelampau agama adalah orang yang menghina agama dan mempermain-mainkannya (termasuk pemimpin kerajaan)," kata Badrul kepada malaysiakini , mengulas langkah kerajaan untuk mengambil tindakan lebih tegas di bawah Kanun Keseksaan terhadap kumpulan atau individu yang menggunakan agama, termasuk bukan Islam, bagi memecah-belahkan masyarakat.
Seksyen 298A akta itu membenarkan kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang menuduh orang lain kafir, menimbulkan kebencian atau menyebarkan berita palsu tentang pentadbiran kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim seperti dilaporkan.
Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.
Apabila ditanya contoh ucapan pemimpin kerajaan yang boleh dianggap menghina Islam, Dr Badrul Amin berkata seorang pemimpin negara semasa sidang partinya tahun lalu pernah menyifatkan "orang dulu-dulu memakai tudung kerana orang dulu-dulu kuat nafsu dan mengelakkan debu masuk ke mata."
"Rakyat harus faham (sekarang), mereka (pemerintah) akan menggunakan apa sahaja untuk menekan pembangkang," kata bekas pensyarah undang-undang itu lagi, apabila ditanya kenapa pendakwaan terhadap 'pelampau agama' menerima pakai undang-undang sivil, dan bukannya undang-undang Islam di mahkamah syariah.
Isunya bermotifkan politik kerana kerajaan tidak mampu lagi berhadapan di gelanggang politik tetapi sebaliknya menggunakan gelanggang lain iaitu mahkamah, tambahnya lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.