Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pelajar pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah membuat aduan polis, mendakwa dia cuba disogok supaya bertanding bagi pihak universiti dalam pilihanraya kampus 19 Januari depan.

Mahasiswi berkenaan - Shah Rizul Ayuni Zulkiply - membuat laporan tersebut di balai polis Pantai, Kuala Lumpur petang semalam.

Dia membuat laporan itu selepas menerima sepucuk surat yang menawarkan dia bertanding kerusi umum bagi pihak universiti berkenaan.

Shah Rizul juga mendakwa terdapat wang tunai RM100 diserta bersama surat bertarikh 9 Januari lalu.

Surat ini didakwa mempunyai tandatangan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Prof Madya, Dr Azarae Idris.

Dalam laporan polisnya, Shah Rizul mendakwa surat tersebut dihantar melalui Pejabat Kolej Kediaman Keempat - tempat dia menginap.

Surat tersebut, yang disertakan bersama dalam laporan itu menyebut, semua keperluannya, termasuk makanan, penginapan, dan keselamatannya dijamin.

Sehubungan itu, Shah Rizul diminta hadir ke pejabat Hal Ehwal Pelajar sebelum 13 Januari 2008 (semalam) bagi tujuan itu.

Dalam laporan polis itu, Shah Rizul berkata, dia hanya menyedari kewujudan surat itu semalam

Shah Rizul mendakwa pemberian wang itu "memalukan dirinya" dan "membuktikan bahawa terdapat pihak tertentu sanggup menggunakan wang untuk membeli mahasiswa bagi kepentingan sendiri."

Hari penamaan calon pilihanraya kampus UM yang berlangsung hari ini dipanaskan dengan perang mulut kedua-dua yang pihak bertanding.

ADS