versi mutakhir Jawatankuasa teknikal Umno dan PAS mengadakan pertemuan sulit di Carcosa Seri Negara selama dua jam untuk memutuskan beberapa perkara sebelum perbincangan peringkat pemimpin tertinggi dua parti itu Isnin depan.

Pertemuan itu yang bermula 3.30 petang tadi diketuai oleh Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohd Khalil Yaakob dan rakan sejawatnya daripada PAS Nasharudin Mat Isa dan turut disertai oleh anggota-anggota jawatankuasa teknikal dua parti itu.

Malaysiakini tengahari tadi melaporkan pertemuan itu ditunda oleh kedua-dua pihak. Bagaimanapun mereka tidak bersedia memberikan butiran lanjut.

Laporan itu yang memetik kenyataan Nasharudin dan setiausaha akhbar Khalil, Zukri Valentino, enggan menjelaskan sebab-sebab penangguhan ketika dihubungi pagi tadi.

Ketika diminta mengesahkan pertemuan petang ini di Carcosa Seri Negara, Zukri berkata ia tetap "ditangguhkan."

Bagaimanapun malaysiakini berjaya mengesahkan pertemuan tertutup itu melalui seorang anggota jawatankuasa teknikal PAS, Dr Mohd Hatta Mohd Ramli. Beliau keberatan untuk mengulas lanjut butiran pertemuan kedua itu.

Menurut satu sumber lain, malaysiakini difahamkan terdapat 11 orang wartawan menunggu di luar kawasan Carcosa Seri Negara kira-kira jam 4 petang, termasuk akhbar Harakah dan seorang daripada agensi berita luar negara.

Menurut sumber, mereka bagaimanapun "keliru" apabila tidak dapat mengesahkan tentang pertemuan itu di situ.

Minggu lalu jawatankuasa teknikal dua parti itu berjaya memutuskan tempat, tarikh, jumlah perwakilan dan agenda perbincangan antara Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya Datuk Fadzil Noor.

Sidang akhbar Ahad depan

Dr Mohd Hatta berkata, kedua-dua pihak bersetuju membawa hasil perbincangan hari ini kepada biro politik parti masing-masing dan butiran keputusan yang dicapai tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak.

Malaysiakini difahamkan PAS akan memanggil satu sidang akhbar berhubung perkara ini pada Ahad ini selepas mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu.

Semalam PAS mencadangkan empat isu utama untuk dibincangkan dengan Umno Isnin depan: kepincangan badan kehakiman, khususnya berhubung perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hubungan antara kerajaan Pusat dengan Kelantan dan Terengganu yang dikuasai PAS, penyalahgunaan dana awam untuk menyelamatkan syarikat tertentu dan saranan Umno untuk menggugurkan nama Islam pada parti itu. ([#1] PAS kemukakan empat isu, termasuk Anwar [/#], 15 Feb)

Dr Mohd Hatta mengesahkan ahli jawatankuasa yang sama kedua-dua parti pada pertemuan minggu lalu di Hotel Nikko, Ampang juga hadir pada pertemuan kali ini.

Selain Hatta, jawatankuasa teknikal PAS dianggotai oleh Pengarah Urusan Harakah , Datuk Hishamuddin Yahya dan Dr Abdul Wahab Ismail.

Manakala Umno disertai setiausaha kerja Umno Senator Tengku Adnan Tengku Mansor, setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Dusuki Ahmad dan wakil ibu pejabat Umno, Abu Khamis.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, perbincangan peringkat pemimpin tertinggi pada 19 Februari depan akan diwakili oleh enam perwakilan bagi setiap parti.